RUU generasi penamat dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

RUU generasi penamat dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan kerajaan memutuskan tidak mengundi RUU itu selepas perbahasan selama dua hari.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali kedua semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat bersetuju Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk penelitian lanjut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak mengundi RUU itu selepas perbahasan selama dua hari.

Khairy mengakui terdapat pandangan berbeza daripada Ahli Parlimen mengenai RUU itu.

Keputusan itu dibuat selepas perbahasan selama dua hari melibatkan 13 Ahli Parlimen.

Khairy membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua semalam.

Ia yang dinamakan RUU Generasi Penamat (GEG), bertujuan mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan produk rokok dan vape bagi mereka yang dilahirkan selepas 2007.

“Saya perlu mengambil serius perkara ini sebagai menteri.

“Kalau kita kuat kuasakan (mengundi), mungkin ada yang terpaksa bersetuju atau tidak bersetuju,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Khairy mengumumkan beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu yang terdiri daripada 13 anggota.

Beliau berkata, antara anggota dalam jawatankuasa itu adalah Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahli Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.

Selain itu, jawatankuasa turut dianggotai Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Tuaran Madius Tangau, Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking dan Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir.

Ketika perbahasan RUU itu, Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi), berkata beliau menyokong RUU itu dan menyifatkan ini satu permulaan baik.

“Walaupun saya sokong undang-undang, saya harap pandangan dan cadangan-cadangan dari Ahli-Ahli Dewan diambil kira oleh Khairy,” katanya.

Sementara itu, Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), berkata beliau menyokong RUU itu bagi memastikan negara mempunyai generasi penamat terhadap tabiat merokok yang telah menjadi isu kesihatan awam sejak sekian lamanya.

Katanya, sistem kesihatan negara tidak boleh terus mengamalkan pendekatan kaedah merawat.

Ketika menggulung perbahasan itu, Khairy mempersoalkan kenapa negara ini tidak mahu menjadi peneraju dalam dunia.

“Kenapa tidak untuk benda yang baik, Malaysia tunjuk bahawa kita boleh bawa penamatan kepada perkara yang sangat mudarat kepada kesihatan orang awam,” katanya.

Semalam, Khairy berkata bagi mereka berumur 18 tahun ke atas dan sedang merokok termasuk rokok elektronik serta vape tidak akan dihalang dengan RUU itu. Katanya, mereka boleh merokok sehingga akhir hayat jika itu yang dimahukan.

Menurut RUU itu, individu lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.