
Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata Kementerian Pertahanan telah melengkapkan semua proses penilaian tender bagi perolehan MALE UAS untuk kegunaan tentera udara bagi memperkukuh penguasaan domain udara Malaysia.
Beliau berkata, lembaga perolehan kementerian itu telah memperakukan petender yang dipilih serta dikemukakan kepada Kementerian Kewangan, pada 7 Jul lalu dan keputusan muktamad akan diketahui dalam bulan ini.
“Bagi ekosistem penyelenggaraan, dilaksanakan selepas tamat tempoh waranti daripada Original Equipment Manufacturer (OEM) berpandukan kepada konsep senggaraan yang akan ditentukan tentera udara.
“Perolehan persenjataan termasuk Electronic Warfare (EW) bagi aset ini akan dilaksanakan pada fasa perolehan kedua dan ketiga dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan RMK16,” katanya menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai status tender, perolehan, penyelenggaraan bagi pesawat MALE UAS untuk kegunaan tentera udara, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Menjawab soalan tambahan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan) mengenai objektif perolehan MALE UAS, Ikmal Hisham menjelaskan, aset itu akan melaksanakan misi risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR) untuk mengurangkan jurang keupayaan dalam menyalurkan informasi secara ‘near real time’ (NRT) kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, pembangunan keupayaan pesawat itu adalah berlandaskan Pelan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 (CAP55) dan selari dengan Pelan Pembangunan 4 Dimensi Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) bagi menyokong Kertas Putih Pertahanan.
“Aset MALE UAS ini akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan bagi meningkatkan penguasaan domain udara TUDM khususnya dalam melaksanakan pengawasan di Laut China Selatan dan Pantai Timur Sabah,” katanya.