Malaysia kedudukan ke-3 LNAS kerana undang-undang AS berbeza, kata Hamzah

Malaysia kedudukan ke-3 LNAS kerana undang-undang AS berbeza, kata Hamzah

Ia susulan Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (LNAS) terbaharu berkaitan pemerdagangan orang.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata Malaysia mengambil tindakan terhadap pemerdagangan manusia tetapi ‘ia masih belum cukup untuk mempengaruhi penilaian Jabatan Negara AS’.
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin mempersoalkan kedudukan tahap ketiga Malaysia dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (LNAS) terbaharu, disebabkan perbezaan undang-undang dan pelaksanaan antara Amerika Syarikat dan Malaysia.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, beliau turut menyangkal beberapa dapatan dalam laporan itu antaranya, Malaysia tidak mempunyai rumah perlindungan bagi mangsa pemerdagangan di utara Semenanjung.

Hamzah menjelaskan, negara mempunyai sebuah rumah perlindungan bawah kendalian NGO di Pulau Pinang selain memaklumkan terdapat 10 rumah perlindungan di seluruh negara.

Katanya, laporan LNAS adalah bersifat subjektif kerana maklumat diperoleh bukan daripada pihak kerajaan Malaysia, namun NGO dan pertubuhan masyarakat madani.

“Laporan ini juga dibuat berpandukan kepada perundangan Amerika Syarikat bagi jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA), yang sedikit berbeza dengan undang-undang dan amalan yang digunakan di negara ini, melibatkan tiga elemen, iaitu pendakwaan dan penguatkuasaan, perlindungan mangsa dan pencegahan,” katanya.

Hamzah turut menyatakan kebimbangannya dengan laporan itu berkaitan pasaran eksport di luar negara yang turut terpalit dengan tuduhan penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan sehingga mengakibatkan syarikat terlibat dikenakan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).

Katanya, Malaysia melakukan pelbagai usaha penting membanteras pemerdagangan orang melibatkan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Akta Kerja 1955 (Akta 265) iaitu Seksyen 90B, pewujudan kesalahan buruh paksa dan Seksyen 60K, penggajian pekerja asing) yang telah diluluskan pada Mac lalu, bagi menangani isu buruh paksa, peningkatan sabitan dan penguatkuasaan ke atas pelaku jenayah pemerdagangan orang dan lain-lain lagi.

Selain itu, Hamzah turut mempersoalkan kewajaran aspek negatif laporan tersebut antaranya, kekeliruan terhadap jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang menghalang pengenalpastian mangsa dan penyiasatan kes pemerdagangan orang yang berkurang walaupun kerajaan sudah mengambil langkah yang sepatutnya.

Merujuk kepada pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 atau NAPTIP 3, Hamzah menekankan, komitmen kerajaan dalam isu pemerdagangan orang selain menyeru pihak majikan dan pekerja turut sama memainkan peranan serta bertanggungjawab untuk bersama memperbaiki keadaan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.