Ahli Parlimen gesa kaji semula khidmat e-panggilan motosikal

Ahli Parlimen gesa kaji semula khidmat e-panggilan motosikal

Perkhidmatan itu boleh membantu mereka yang berulang-alik jarak dekat menjimatkan kos dan mengelak kesesakan lalu lintas, kata Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menggunakan perkhidmatan Dego Ride ke Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mahu kerajaan mengawal selia perkhidmatan e-panggilan motosikal, dengan berkata ia dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan mobiliti dalam kalangan warga kota.

Menyeru kementerian berkaitan mengkajinya semula, beliau berkata, perkhidmatan seumpama itu juga boleh membantu mereka yang berulang-alik jarak dekat.

November lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Henry Sum Agong berkata, tiada rancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan motosikal disebabkan kadar kematian jalan raya yang tinggi dalam kalangan penunggang motosikal.

Hari ini, Fahmi berkata, terdapat “hujah” untuk membenarkan perkhidmatan sedemikian dalam radius sehingga 10km.

“Contohnya, jika dari rumah anda mahu ke stesen MRT, atau dari pejabat ke stesen LRT, perkhidmatan sebegini lebih ekonomikal dan dapat membantu mengelak kesesakan lalu lintas,” kata pengarah komunikasi PKR itu kepada pemberita di pejabatnya di Pantai Dalam.

Beliau berkata, langkah menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan e-panggilan motosikal boleh membantu usaha Kuala Lumpur menjadi bandar rendah karbon menjelang 2030.

Tambahnya, di kawasannya, orang ramai yang membuat janji temu di hospital berhampiran mendapati tambang e-panggilan sedia ada terlalu mahal.

Nabil Feisal Bamadhaj, pengasas Dego Ride, perkhidmatan e-panggilan motosikal pertama negara, berkata syarikat itu berharap kerajaan dapat mengawal selia perkhidmatan itu supaya kedua-dua penunggang dan penumpang akan menggunakannya dengan yakin.

“Kami dapat lihat lalu lintas jadi lebih teruk apabila aktiviti ekonomi disambung semula selepas wabak. Pada masa sama, kami lihat permintaan terhadap perkhidmatan kami meningkat,” katanya.

“Tetapi penunggang ragu-ragu untuk menyertai kami kerana mereka tidak pasti sama ada perkhidmatan kami sah.”

Dego Ride memulakan operasi pada Julai 2015 tetapi terpaksa dihentikan dua tahun kemudian disebabkan kebimbangan mengenai keselamatan jalan raya. Syarikat itu kini menyediakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Nabil berkata, tinjauan tidak rasmi yang dijalankan oleh pasukannya di stesen-stesen LRT baru-baru ini menunjukkan bahawa para penumpang menyambut baik kos lebih rendah dan masa perjalanan lebih pantas yang ditawarkan oleh perkhidmatan e-panggilan motosikal.

Sementara itu, Fahmi secara sinis mengulas pelantikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai bendahari Barisan Nasional Selangor.

“Sebelum ini, beliau rapat dengan (presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin, jadi beliau perlu menjelaskan pelantikan itu.

“Rakyat akan memutuskan sama ada beliau membebankan Umno,” katanya.

Katanya, Tengku Zafrul sebelum ini mendakwa beliau tidak akan menyertai politik, walaupun sudah lama menjadi ahli Umno.

Pada Jun, Tengku Zafrul menyangkal spekulasi akan menyertai politik dengan berkata, beliau memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.