
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata 1MDB, SRC dan SSER adalah entiti menerima jaminan kerajaan bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 atau Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan.
“Oleh itu, entiti ini akan memberikan pendedahan risiko liabiliti luar jangka kepada kerajaan selagi komitmen hutang entiti tersebut masih belum selesai.
“Entiti ini juga dikategorikan sebagai komitmen jaminan kerana menerima peruntukan kewangan daripada kerajaan bagi membantu dalam bayaran komitmen hutang,” katanya menjawab pertanyaan lisan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat.
Wong bertanya mengenai berapa jumlah hutang negara setakat ini dan bagaimana hutang atau jaminan 1MDB, SRC dan SSER sudah menyumbang kepada hutang negara yang tinggi.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata bagi tempoh sama, baki komitmen hutang 1MDB yang melibatkan bayaran prinsipal serta faedah kepada dua bon dan satu sukuk adalah sebanyak RM32.08 bilion dengan andaian kadar tukaran wang asing untuk USD$1 bersamaan RM4.50.
Katanya, manakala baki komitmen hutang SSER yang melibatkan bayaran prinsipal dan faedah berjumlah RM8.78 bilion, dengan andaian kadar tukaran wang asing untuk RMB1 bersamaan RM0.6588.
“Bagaimanapun, komitmen hutang SRC telah pun selesai pada 28 Mac 2022 yang lalu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata lebih RM1.57 bilion akan dibelanjakan kerajaan tahun ini bagi membayar faedah daripada hutang 1MDB.
Beliau berkata, anggaran itu dibuat dengan andaian kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia dengan dolar AS adalah pada kadar RM4.50 bagi setiap USD1.
Tengku Zafrul berkata demikian menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) dalam jawapan lisan mengenai bayaran faedah bulanan diperlukan kerajaan untuk membayar hutang 1MDB.