
Beliau berkata demikian selepas disindir beberapa Ahli Parlimen pembangkang berhubung penggugurannya sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.
“Saya nak balik kampung. Saya nak jadi ketua kampung. Tetapi bukan sembarangan.
“(Jadi) ketua kampung dan perjuangan akan diteruskan,” katanya secara berseloroh ketika membahaskan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Tajuddin berkata beliau dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sepatutnya sudah bersara dalam politik negara.
Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen pembangkang secara berseloroh mengatakan Anwar tidak bersara lagi kerana ingin menjadi perdana menteri.
Selepas itu, Tajuddin turut membalas beliau juga ingin menjadi perdana menteri.
Namun, kenyataannya itu telah disindir beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang mengatakan jawatan duta besar Malaysia ke Indonesia pun Tajuddin “tidak lepas”.
“Nak jadi duta pun tak lepas”, kata Hanipa Maidin (PH-Sepang).
Kemudian Shamsul Iskandar Md Akin (PH-Hang Tuah Jaya) turut berseloroh kepada Tajuddin dengan mengatakan “rugi tak jadi duta…malu kita”.
Pada 11 Jul lalu, FMT melaporkan Tajuddin digugurkan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia, menurut sumber kerajaan.
Sumber itu mengesahkan nama Tajuddin tidak terkandung dalam senarai terbaharu penerima watikah pelantikan diplomat ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong
Menurutnya lagi, kerajaan “berubah hati” mengenai pelantikan Tajuddin.
Pelantikan Tajuddin mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas diplomat.
Awal Julai lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak yang mendesak Tajuddin digugurkan sebagai duta besar ibarat mempertikaikan kuasa Agong, kerana pelantikan beliau sudah diperkenan.
Tajuddin sebelum ini menyifatkan sebahagian kritikan berhubung pelantikannya sebagai “tidak adil”.