Penganggur maut ditetak 4 lelaki bertopeng

Penganggur maut ditetak 4 lelaki bertopeng

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 29 tahun sedang makan dan didatangi sekumpulan lelaki bertopeng serta bersenjatakan parang.

Polis berkata mangsa cedera di kepala, tangan dan kaki serta seluruh badan dibawa ke Hospital Pakar Puteri namun disahkan meninggal dunia.
PETALING JAYA:
Seorang penganggur maut ditetak sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang ketika sedang makan di kawasan Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Rupiah Abd Wahid, berkata kejadian berlaku pada 8.10 malam semalam menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa berusia 29 tahun diserang empat lelaki yang menaiki kereta Honda berwarna putih.

“Bagaimanapun, nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek tidak dapat dikenal pasti,” katanya menurut Bernama.

Rupiah berkata, mangsa cedera di kepala, tangan dan kaki serta seluruh badan dibawa ke Hospital Pakar Puteri, namun disahkan meninggal dunia.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis meminta orang ramai mempunyai maklumat kejadian, menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07 5563122 atau pegawai penyiasat, Zawanah Raimi Mokhtar, di talian 012 7744544.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.