P Pinang pertimbang buat PRN serentak PRU15, kata KM

P Pinang pertimbang buat PRN serentak PRU15, kata KM

Chow Kon Yeow berkata sebelum ini kerajaan negeri membuat keputusan tidak akan membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata sekiranya pilihan raya umum berlangsung menjelang hujung tahun, berkemungkinan besar Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan serentak. (Gambar Facebook)
SEBERANG PERAI:
Kerajaan Pulau Pinang berkemungkinan besar akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya ia diadakan menjelang hujung tahun.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri perlu menilai semula keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen.

“Kami akan menilai semula kedudukan sebelum ini, bergantung kepada berapa awal atau lewat PRU akan diadakan. Jadi, sekiranya PRU berlangsung menjelang hujung tahun, saya fikir dengan tempoh beberapa bulan lagi, kemungkinan besar ia (PRN) diadakan serentak,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat beberapa lokasi di Tasek Gelugor di bawah program Jelajah Love Penang, Chow yang juga pengerusi DAP Pulau Pinang, berkata parti itu yakin dapat mengekalkan pentadbirannya di negeri itu.

Pada 18 Mac, Chow berkata, tiada keperluan untuk PRN diadakan dalam masa yang sama dengan PRU dan kerajaan negeri berhak untuk menunggu hingga 2023 sebelum membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Terdapat 40 kerusi DUN di Pulau Pinang merangkumi Pakatan Harapan (PH) dengan 19 kerusi dimiliki DAP, PKR (12) dan Amanah (2), manakala Bersatu mempunyai empat kerusi, Barisan Nasional (BN) (2) dan PAS (1).

Bagi kerusi Parlimen, PH mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (7) dan PKR (4) manakala BN dengan dua kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.