
Beliau berkata, tarikh 31 Julai dalam MoU itu hanya tempoh dinyatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak membubarkan Parlimen.
“Kita tidak tahu berapa lama lagi (Parlimen akan dibubarkan), jadi MoU itu diteruskan,” katanya dalam sidang media pelancaran NFT Langkah Sheraton untuk dana pilihan raya umum (PRU15), di Bukit Jalil.
Loke berkata, PH sentiasa bersedia menyokong sebarang agenda demi kepentingan rakyat.
Tahun lalu, kerajaan dan PH meterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada April lalu, memutuskan MoU dimeterai antara kerajaan dan PH tidak diteruskan selepas 31 Julai.
MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Sementara itu, lukisan Langkah Sheraton oleh Ahli Parlimen Damansara Tony Pua kini menjadi projek Non-Fungible Token (NFT) bagi meraih dana untuk kempen DAP dalam PRU akan datang.
Pua memulakan lukisan itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020 dan selepas Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.
Lukisan itu memaparkan 15 personaliti politik dikenali umum. Selepas siap sepenuhnya tahun lalu, ia sempat dipamerkan di Theatre Impian, Bukit Jalil.
Menurut Pua, keputusan untuk “menjual” karyanya itu dalam bentuk NFT agar ia boleh dimiliki bersama secara bermakna oleh ribuan warga Malaysia.
Hanya 8,888 NFT akan dikeluarkan untuk projek ini. Setiap NFT berharga 45 Matic. Ia akan mula dijual bermula 31 Ogos hingga 16 Sept.