Lelaki laung azan dalam tokong kurang siuman, kata polis

Lelaki laung azan dalam tokong kurang siuman, kata polis

Polis berkata saksi memaklumkan ini kali kedua suspek berbuat demikian dengan kali pertama pada 2017.

Tangkap layar daripada video menunjukkan seorang lelaki berdiri sambil melaungkan azan di depan patung dalam tokong di Bukit Mertajam.
PETALING JAYA:
Polis berkata, lelaki yang dirakam melaungkan azan di depan patung dalam sebuah tokong Cina di Bukit Mertajam, Pulau Pinang mempunyai masalah mental dan kurang siuman.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata pihaknya menerima laporan berhubung sebuah video 58 saat yang dimuat naik ke Facebook “Akademi Penyelidikan Agama Dunia” kira-kira 2.30 petang.

“Kejadian ini disyaki berlaku antara 26 hingga 27 Julai lalu di sebuah premis Pertubuhan Yulan Bukit Mertajam sempena festival sambutan perayaan hantu lapar yang disambut pada Julai setiap tahun.

“Hasil keterangan saksi-saksi mengesahkan suspek mempunyai masalah mental dan kurang siuman. Ini adalah kejadian kedua yang dilakukannya dan pertama kali pada 2017,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an itu tinggal di Jalan Kilang Ubi, Bukit Mertajam.

Katanya, kebanyakan penduduk di sekitar kawasan terbabit sudah mengenali suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.