
Seorang inspektor berusia lewat 30-an dan dua anggota berpangkat koperal berusia 20 dan 30 tahun, ditahan Jumaat lalu, selepas pemilik rumah tersebut yang juga ibu kepada lelaki itu membuat laporan polis.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki, berkata siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 4.30 petang selepas tiga lelaki memperkenalkan diri sebagai polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, ke rumah mangsa.
“Ketiga-tiga suspek masuk ke dalam rumah sebelum menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga anak kepada pemilik rumah tersebut.
“Dalam serbuan itu, ketiga-tiga polis telah merampas sebanyak 1,000 biji pil kuda yang ada berada bersama lelaki itu. Susulan daripada tangkapan itu, ibu kepada lelaki yang diberkas itu mendakwa wang sejumlah RM45,000 yang berada dalam rumah dipercayai turut hilang,” katanya menurut Kosmo.
Zaki berkata, selepas kejadian itu, wanita itu tampil membuat laporan di IPD Kuala Krai.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk dakwaan yang mengatakan wang sejumlah RM45,000 hilang selepas serbuan dijalankan.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.