Bekas isteri SM Faisal ketakutan; menangis, mengadu dipukul

Bekas isteri SM Faisal ketakutan; menangis, mengadu dipukul

Saksi pendakwaan Saleh Omar Osman dari polis Brickfields memberitahu mahkamah pada perbicaraan kes ahli perniagaan, SM Faisal SM Nasimuddin.

SM Faisal SM Nasimuddin didakwa mencederakan bekas isteri, Emilia Hanafi di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, pada 22 Nov 2015. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang anggota polis peronda memberitahu Mahkamah Majistret bahawa bekas isteri SM Faisal SM Nasimuddin dilihat berada dalam keadaan ketakutan, menangis dan mengadu ahli perniagaan itu telah memukulnya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas yang didiami oleh pasangan tersebut tujuh tahun lalu.

Saleh Omar Osman, 43, dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berkata, pada 22 Nov 2015, beliau menerima panggilan dari pusat kawalan yang menyatakan ada pergaduhan di rumah tersebut dan terus bergerak ke lokasi itu bersama rakan setugasnya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata, apabila tiba di rumah tersebut, pintu pagar telah terbuka dan beliau melihat seorang lelaki berdiri di kawasan parkir serta membenarkan mereka masuk.

“Rakan setugas saya telah bertanya kepada lelaki tersebut ‘ada apa-apa masalah ke encik’ dan lelaki itu menjawab ‘tiada apa-apa.’ Selepas itu, seorang perempuan telah keluar dari rumah tersebut dan menunjukkan kepada saya tangannya lebam kerana dipukul. Saya juga nampak kesan lebam di mukanya.

SM Faisal SM Nasimuddin.

“Mangsa berada dalam ketakutan, menangis dan mengadu bahawa suaminya (sambil menunjukkan kepada lelaki tersebut) telah memukulnya. Lelaki itu hanya berdiam diri,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes SM Faisal yang didakwa mencederakan Emilia Hanafi.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, saksi itu mengenal pasti lelaki yang berdiri di kawasan parkir adalah SM Faisal.

Menurut Saleh, beliau kemudian meminta mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Akberdin Abdul Kader, saksi itu bersetuju bahawa beliau tidak menangkap SM Faisal meskipun mempunyai kuasa untuk menahan mana-mana suspek yang disyaki melakukan jenayah.

Akberdin: Saya katakan kepada kamu Sarjan, kamu tidak menangkap dia walaupun kamu melihat mata dan tangan wanita itu lebam kerana kamu telah membuat keputusan itu adalah masalah rumah tangga antara lelaki dan wanita, sebab itu kamu tidak menangkap atau menahan suspek tersebut.

Saleh: Ya, setuju.

Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa pada hari kejadian, SM Faisal ada memberitahunya bahawa dia telah diserang oleh isterinya dan terpaksa mempertahankan diri menyebabkan mereka telah mengalami kecederaan.

SM Faisal, 43, berdepan dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 Nov 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.