Tiada lagi laluan ‘visa pelancong’ untuk pembantu rumah Indonesia mulai 15 Ogos

Tiada lagi laluan ‘visa pelancong’ untuk pembantu rumah Indonesia mulai 15 Ogos

Duta Besar Indonesia Hermono berkata semua permohonan pembantu rumah perlu melalui platform bersepadu Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Pekerja domestik Indonesia tidak lagi dibenarkan untuk mula bekerja selepas masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong.
PETALING JAYA:
Amalan pekerja domestik Indonesia memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong dan kemudian memohon permit kerja akan dihentikan mulai 15 Ogos, kata Duta Besar Indonesia Hermono.

Beliau berkata, Sistem Satu Saluran yang akan digunakan menetapkan semua permohonan untuk pembantu rumah Indonesia perlu melalui platform bersepadu Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Hermono yang berada di Jakarta minggu lalu untuk memuktamadkan prosedur pengambilan berkata, bakal majikan mesti menghantar dokumen dan kontrak kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan disaring untuk kelayakan sebagai majikan.

“Jabatan itu kemudiannya akan menghantar data kepada kedutaan melalui platform bersepadu. Sebaik sahaja kami mengesahkan kontrak pekerjaan, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan visa dengan nombor rujukan,” katanya.

Sebelum ini, System Maid Online (SMO) yang membenarkan pembantu rumah masuk dengan visa pelancong dahulu dan memohon permit kerja kemudian, akan dihentikan, seperti yang ditetapkan dalam perjanjian antara kedua-dua negara.

“Tiada lagi pekerja Indonesia akan dibenarkan masuk dengan visa pelancong untuk mula bekerja,” katanya.

Hermono berharap, dengan adanya perjanjian muktamad itu, tidak ada lagi alasan untuk mengganggu aliran pekerja domestik Indonesia yang amat diperlukan oleh Malaysia.

Bagi sebarang pelanggaran terma, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan itu boleh membawa perkara itu pada mesyuarat suku tahunan kumpulan kerja bersama pegawai dari kedua-dua negara.

“Sekarang lebih jelas dan apa yang kita mahukan ialah supaya pekerja kita mendapat perlindungan maksimum tanpa didera atau ditipu seperti dahulu. Kami akan bekerja keras untuk mencapai matlamat ini,” tambahnya.

Khamis lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Tenaga Kerja Indonesia Ida Fauziyah berkata sistem pengambilan bersepadu akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga minggu.

Projek perintis selama tiga bulan akan disediakan sebelum aplikasi penuh sistem di bawah One Channel System (OCS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.