MN Plus sudah berakhir bila PN ditubuhkan, kata Mahdzir

MN Plus sudah berakhir bila PN ditubuhkan, kata Mahdzir

Naib presiden Umno berkata, sememangnya ada cadangan mewujudkan MN Plus dan Bersatu, namun ia adalah pendapat peribadi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata, ada cadangan mewujudkan MN Plus dan Bersatu, tetapi selepas PN didaftarkan, ia sudah berakhir.
KOTA TINGGI:
Cadangan mewujudkan Muafakat Nasional (MN) Plus melibatkan gabungan Umno, Bersatu dan PAS telah terhenti apabila Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, kata Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, ketika itu sememangnya ada cadangan diwujudkan MN Plus dan Bersatu, tetapi selepas PN didaftarkan, ia sudah berakhir.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu semalam bahawa gabungan tiga parti Melayu terbesar- Bersatu, PAS dan Umno dilihat mampu memenangi PRU dengan selesa sekiranya MN Plus menjadi realiti.

“Mengenai MN (Plus) itu adalah pendapat peribadi beliau (Muhyiddin), namun perkara itu sudah berakhir dan sudah lebih setahun berlalu…pandangan peribadi saya setakat ini, BN dalam perkiraan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) (bertanding) atas sifat solo. Bagaimanapun terpulang kepada keputusan parti,”.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Dewan Kejora, di sini hari ini.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, keputusan Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti baru-baru ini dan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tahun lalu, adalah kejayaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ahli Dewan Rakyat dilihat memberikan sokongan kepada perdana menteri tanpa mengira parti politik.

“Beliau ada dua kejayaan, pertamanya pindaan Perlembagaan Persekutuan MA63 yang mendapat dua pertiga sokongan, ini pun pembangkang bagi sokongan…lebih 148 orang (menyokong).

“Sekali lagi, perdana menteri dapat sokongan 209 Ahli Parlimen iaitu lebih dua pertiga majoriti (rang undang-undang berkaitan lompat parti), ini merupakan satu kejayaan beliau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.