
Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata demikian susulan jawapan menteri itu di Parlimen pada 27 Julai lalu yang mengatakan, festival kebudayaan Oktoberfest tidak sepatutnya disambut kerana boleh mencetuskan masalah sosial.
“Saya sebagai Ahli Parlimen beragama Islam akur bahawa, orang Islam tidak patut minum minuman yang beralkohol dan terlibat dalam aktiviti haram dari segi agama Islam,.
“Tetapi umat Islam tidak harus campur tangan dalam hal ehwal budaya, kehidupan dan aktiviti perniagaan masyarakat bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.
“Perbuatan campurtangan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Selain itu, aktiviti perniagaan yang tidak halal oleh orang bukan Islam adalah kebebasan yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Tengku Zulpuri berkata, di Malaysia, Oktoberfest merupakan aktiviti mempromosikan bir yang diadakan secara dalaman di restoran dan pub yang tidak halal dan bukan secara terbuka seperti didakwa Idris.
Beliau juga mendakwa, kenyataan menteri agama itu berkaitan aktiviti perniagaan restoran bukan Islam, sebenarnya menjejaskan imej Islam itu sendiri kerana ianya menggambarkan sebagai agama yang tidak ada toleransi dengan cara kehidupan penganut agama lain.
Ahli Parlimen itu berkata, tindakan Idris itu mengulangi kenyataan yang boleh mengganggu keharmonian antara orang Islam dan bukan Islam sejak mengambil alih portfolio menteri, memetik kenyataan awal Idris mengenai perayaan Bon Odori.
Bulan lalu, Idris menyeru umat Islam supaya tidak menyertai sambutan Bon Odori yang dianjurkan oleh Kedutaan Jepun hingga mengundang kritikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Berikutan itu, baginda menitahkan menteri hal ehwal agama menghadiri sambutan perayaan itu bagi memahami perbezaan antara agama dan budaya.
Kenyataannya kemudian mendorong Sultan Selangor mencadangkan agar menteri itu melawat perayaan itu supaya dapat memahaminya dengan lebih baik.