Gabungan 3 parti Melayu mampu menang selesa PRU, tapi Umno tolak, dakwa Muhyiddin

Gabungan 3 parti Melayu mampu menang selesa PRU, tapi Umno tolak, dakwa Muhyiddin

Presiden Bersatu berkata penubuhan MN pada masa ini seolah-olah kabur kerana penolakan Umno.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata tanpa kerjasama Umno, Bersatu ketika ini sudah pun kuat dengan kehadiran PAS dalam gabungan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan tiga parti Melayu terbesar – Bersatu, PAS dan Umno mampu menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan selesa jika penubuhan Muafakat Nasional (MN) menjadi realiti, kata Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, presiden Bersatu itu berkata penubuhan MN pada masa ini seolah-olah kabur kerana penolakan Umno meskipun jemputan menyertai gabungan berkenaan dibuat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Dedah Muhyiddin, ketika beliau menjadi perdana menteri pada 2020 susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada pemimpin tertinggi PAS dan Umno bertemu dengannya untuk mencadangkan penyertaan Bersatu ke dalam MN yang disusuli surat jemputan ditandatangani Zahid serta Hadi.

“Jawapan saya dihantar ke pejabat Barisan Nasional (BN) dan PAS yang menyatakan kita bersedia sertai MN. Tetapi malangnya, sampai hari ini kami tidak dijemput mana-mana. Baguslah PAS hendak bersama Umno dan kami juga mahu bersama dengan semua parti.

“Saya pasti kalau kita berdepan pilihan raya, gabungan tiga parti ini mampu cemerlang dengan menang dua pertiga sekiranya kerjasama ini menjadi realiti,” katanya ketika berucap merasmikan Perikatan Nasional (PN) Terengganu.

“Tetapi malangnya sudah sampai setahun atau lebih, Umno menolak kami. Perhimpunan Agung Umno buat keputusan tak terima kami, tak terima tak apalah.”

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga pengerusi PN menegaskan, tanpa kerjasama dengan Umno, Bersatu ketika ini sudah pun kuat dengan kehadiran PAS dalam gabungan itu.

“Kita ada PAS, abah PAS ada di sini (merujuk kehadiran Hadi pada majlis itu), kita dengan niat sama boleh perkukuhkan kerjasama,” katanya.

Pada 21 Jun, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa parti itu tidak pernah menolak agenda perpaduan ummah atau membatalkan surat untuk menerima masuk MN selepas keluar daripada Pakatan Harapan.

“Ini hakikatnya, tetapi mananya MN yang jemput kita masuk? Siapa sebenarnya yang tolak perpaduan?” soalnya dalam satu ceramah PN.

Pendedahan itu menyusul beberapa insiden yang menyaksikan pemimpin Umno dan PAS bercanggah pendapat mengenai masa depan MN dengan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebelum ini menyifatkan kerjasama perpaduan ummah antara dua parti itu sudah “sampai ke surah terakhir”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.