Banjir Baling: Trauma kejadian kepala air, penduduk pilih tinggal di PPS

Banjir Baling: Trauma kejadian kepala air, penduduk pilih tinggal di PPS

Menurut penduduk, mereka masih bimbang untuk pulang ke rumah memandangkan keadaan cuaca yang masih mendung.

Sebahagian 53 mangsa banjir yang berada di PPS selepas dipindahkan ekoran kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat. (Gambar Bernama)
BALING:
Trauma dengan kejadian kepala air pada 4 Julai lalu menyebabkan sebilangan besar mangsa banjir di beberapa buah kampung di Kupang, memilih untuk terus berada pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun keadaan banjir di kediaman mereka telah pulih semalam.

Seorang penduduk Kampung Padang Empang yang terjejas ekoran banjir pada petang semalam, Khasima Kassim, 40, berkata dia dan keluarganya masih bimbang untuk pulang ke rumah, memandangkan keadaan cuaca yang masih mendung.

Selepas kejadian kepala air pada 4 Julai, kami semua jadi trauma, jadi tak tentu arah setiap kali hujan dan cuaca mendung kami akan cepat-cepat keluar dari rumah sebab takut kejadian berulang.

“Walaupun hujan tidak turun di kawasan kampung, tapi kami tidak tahu di atas puncak Gunung Inas mungkin hujan yang menyebabkan kejadian kepala air berulang, jadi memang sangat takut setiap kali cuaca mendung atau hujan,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang di Kupang, semalam.

Khasima merupakan antara 53 mangsa yang masih berada di PPS itu, selepas dipindahkan ekoran kediaman dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku selepas hujan berterusan selama tiga jam, bermula pukul 2 petang kelmarin.

Dalam pada itu, beliau yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan berharap, pihak kerajaan dapat menyelesaikan segera isu banjir di kawasan ini yang didakwa berpunca daripada projek ladang durian Musang King di Gunung Inas.

Katanya, kebimbangan penduduk terhadap kejadian banjir dan kepala air berulang lagi, tidak boleh dibiarkan berterusan agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini.

Seorang lagi penduduk yang terjejas Mohd Dahry Abdul Latef, 64, berkata beliau dan isterinya masih tidak dapat melupakan kejadian pada 4 Julai dan akan sentiasa berwaspada setiap kali cuaca menjadi tidak menentu.

“Buat masa ini saya isteri pilih tinggal di PPS dahulu, selepas cuaca baik dan keadaan air Sungai Kupang turun barulah kami balik ke rumah. Kami bimbang kejadian awal bulan lalu berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung dan Keselamatan (JPKK) Kampung Iboi Abu Hasan Samah berkata penduduk yang tinggal di kawasan tebing sungai atau kawasan rendah, perlu segera berpindah jika air mula naik di kawasan kediaman.

“Jangan tunggu lama-lama, sebab kejadian kepala air macam 4 Julai berlaku dengan pantas, kalau lambat bertindak mungkin penduduk akan menjadi mangsa kepala air,” katanya yang turut menasihatkan mangsa banjir di PPS itu untuk terus tinggal di situ buat sementara waktu, berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.