
Exco Hal Ehwal Antarabangsa Kesatuan Mahasiswa UIAM, Abdurahman Baaqeel berkata, selain masalah pasport dan visa yang belum diterima, cara pengurusan Unit Visa dilihat sebagai masalah utama yang perlu diselesaikan.
“Masalah utama kami bukan sahaja mendapatkan semula pasport dan visa. Masalah utama kami ialah Unit Visa itu sendiri…kami mahukan perubahan dan reformasi dramatik dalam unit visa tersebut,” katanya kepada FMT.
Abdurahman berkata, pihaknya akan terus menggesa perubahan dibuat supaya bakal pelajar asing universiti itu tidak mengalami masalah sama.
Bekas pelajar, Ibrahim Hajar dari Syria berkata, berdasarkan pengalamannya menuntut di universiti tersebut, masalah kelewatan visa bukanlah isu baharu, sebaliknya ia mula berlaku sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, jika tiada penambahbaikan dari segi perkhidmatan, dikuatiri ia bukan sahaja memberi imej buruk, tetapi berisiko menyebabkan universiti itu kehilangan ramai pelajar antarabangsa.
“Perlu ada pembaharuan sebenarnya sebab masalah seperti ini akan menjejaskan imej universiti sendiri. Kita sayang universiti ini dan jika tiada tindakan dibuat, saya rasa UIAM boleh kehilangan jumlah pelajar antarabangsa yang ramai,” ujarnya.
Sementara itu, Murad, 24, warga Libya dalam tahun akhir kursus perubatan berkata, setakat ini, beliau belum mendapat sebarang perkhabaran mengenai status visanya setelah menunggu hampir lima bulan.
“Saya sepatutnya menaiki pesawat minggu lepas, tetapi terpaksa dibatalkan. Kami masih menanti apa yang telah dijanjikan.”
Begitu juga pelajar tahun akhir kuliah sains kemanusiaan dari Turki, Ipek, 24, yang mengakui tidak mampu bersabar lagi dengan masalah kelewatan visa, apabila terpaksa menunggu begitu lama untuk pulang ke negaranya bertemu isteri.
“Tiada apa yang boleh kami lakukan selain terus menunggu. Kami pun tidak tahu bila akan dapat pulang bertemu keluarga, apabila isteri tanya bila mahu pulang, saya sudah tidak tahu nak jawab apa.”
Dalam pada itu, Jabatan Komunikasi UIAM ketika dihubungi FMT berkata, perbincangan dengan Jabatan Imigresen Malaysia, EMGS dan pihak universiti telah dibuat dan kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, media melaporkan lebih 300 pelajar antarabangsa UIAM mendakwa sudah lebih lima bulan lewat menerima visa menyebabkan mereka tidak dapat melakukan perjalanan atau pulang ke negara masing-masing.