
Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan berkata, parti itu menulis surat kepada JPPM untuk memohon jasa baik supaya keputusan pindaan perlembagaannya dapat diketahui sebelum 31 Julai ini.
Katanya, ia bagi membolehkan Umno membuat persiapan jika JPPM tidak meluluskan permohonan parti itu.
“Kami perlukan jawapan, jadi kami tunggu, tetapi 31 Julai adalah hari minggu, kalau boleh hari ini kami mahu dapatkan surat jawapan.
“Kami tidak mendesak JPPM untuk luluskan ataupun tidak, tetapi berikan jawapan awal supaya kami dapat siapkan parti kerana penggal 18 bulan akan berakhir hujung tahun ini,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Mohamad berkata, jika permohonannya ditolak, Umno perlu mengadakan mesyuarat yang membabitkan 22,000 cawangannya.
“Umno parti yang besar, ada 22,000 cawangan, bukan mudah untuk gerakkan mesyuarat dalam satu hari. Umno perlu masa dan tempoh lebih awal untuk JPPM respons.
“Lulus atau tidak terpulang kepada JPPM, tetapi bagi Umno, kami mahu keputusan untuk kami uruskan hal ehwal parti. Jika tidak lulus, dalam mesyuarat cawangan-cawangan akan ada agenda pemilihan, jika lulus tiadalah agenda itu.”
JPPM sepatutnya memaklumkan Umno keputusannya pada 16 Julai lalu, tetapi parti itu belum menerima sebarang jawapan sehingga kini berhubung permohonan meminda perlembagaannya supaya ia boleh menunda pemilihan parti.
Jika permohonan itu diluluskan, Umno akan meminda perlembagaannya yang membenarkan pemilihan parti ditangguh sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) atau sehingga 18 bulan dari akhir penggal pucuk pimpinannya, yang mana lebih lewat.
Jika ditolak, pemilihan parti perlu diadakan sebelum PRU15.