Tarif air bukan domestik Selangor naik purata 20 sen

Tarif air bukan domestik Selangor naik purata 20 sen

Pelarasan tarif air itu melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kadar tarif air di Selangor tidak pernah disemak sejak 16 tahun lalu namun ada kajian mengenai pelarasan kenaikan tarif air dua tahun lalu.
PETALING JAYA:
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan kenaikan purata tarif air sebanyak 20 sen setiap meter padu yang melibatkan kategori bukan domestik dan kategori khas bermula 1 Ogos ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, pelarasan tarif air itu melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, Air Selangor telah meneliti keputusan pelarasan itu dan beberapa perkara juga sudah diputuskan setelah mengambil kira kos tinggi yang terpaksa ditanggung syarikat berkenaan.

“Kadar tarif air di Selangor tidak pernah disemak sejak 16 tahun lalu, namun ada kajian mengenai pelarasan kenaikan tarif air dua tahun lalu.

“Ia pernah dikaji tetapi tertangguh beberapa kali, namun kadar tarif baru ini setelah dipersetujui dan perlu dilaksanakan Ogos ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Jelasnya, tujuan utama pelarasan itu dibuat untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan operasi syarikat air.

Justeru, katanya kebanyakan syarikat air bukan sahaja di Selangor, malah di negeri lain menghadapi masalah dari segi kos operasi dan penyediaan perkhidmatan bekalan air.

“Misalnya di Selangor memerlukan RM30 bilion untuk dibelanjakan dengan kos penggantian paip sahaja RM150 juta setahun.

“Selain itu, sebanyak RM3 bilion diperlukan bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baru Sungai Rasau yang ketika ini sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau memberitahu, kos itu tidak termasuk kerja-kerja lain melibatkan operasi syarikat air seperti bil elektrik yang menelan belanja RM300 juta setahun dan bahan kimia untuk perawatan air pula sebanyak RM80 hingga RM100 juta setahun.

“Air Selangor bukanlah sengaja untuk menaikkan tarif, sebaliknya keperluan mendesak bagi meningkatkan perbelanjaan modal bagi membolehkan sistem perkhidmatannya dapat ditingkatkan.

“Kewajaran ini terpaksa dan kenaikan ini tidak melampau selain kita berusaha meningkatkan perkhidmatan air lebih berkualiti kepada penduduk,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun Air Selangor masih mengekalkan tarif bekalan air bagi kategori domestik (premis kediaman) di tiga kawasan terbabit.

“Kategori domestik tidak terkesan dan kita masih meneruskan Skim Air Darul Ehsan (Sade) kepada golongan sasar bagi menikmati air percuma 20 meter padu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.