Rayuan kes SRC International Najib kekal 15 Ogos

Rayuan kes SRC International Najib kekal 15 Ogos

Keputusan itu kekal meskipun peguam baharu Najib Razak meminta Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan.

Najib Razak memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International.
PUTRAJAYA:
Rayuan Najib Razak dalam kes SRC International akan diteruskan seperti dijadual dari 15 hingga 26 Ogos.

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Awal minggu ini, peguam baharu Najib meminta Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan 10 hari itu, “berdasarkan pertukaran peguam cara dan peguam mewakili Najib”.

Firma guaman Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners dilantik mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International selepas bekas peguam Shafee & Co memberitahu bekas perdana menteri itu telah memberhentikan khidmat mereka.

Peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik akan mewakili Najib, menggantikan Shafee Abdullah, dalam rayuan itu.

Sementara itu, Ashrof berkata, Mahkamah Persekutuan juga menetapkan 15 Ogos sebagai hari pertama perbicaraan, untuk mendengar permohonan Najib mengemukakan keterangan baharu berhubung penglibatan hakim perbicaraan Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Investment Bank Bhd.

Tambahnya, hujahan bertulis untuk permohonan keterangan baharu mesti difailkan sebelum 5 Ogos.

“Mereka (peguam Najib) juga akan membuat permohonan yang sama untuk menangguhkan kedua-dua perkara (mendengar permohonan bagi mendapatkan keterangan baharu, rayuan utama) di mahkamah terbuka di Mahkamah Persekutuan pada 15 Ogos 2022,” kata Ashrof.

Mahkamah Rayuan tahun lalu, mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 untuk mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya.

Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta Najib. Bagaimanapun, Najib dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.