Negara ‘bergelut’ capai standard global berhubung hak pendatang, kata aktivis

Negara ‘bergelut’ capai standard global berhubung hak pendatang, kata aktivis

Pindaan Akta Kerja menawarkan perlindungan sosial lebih baik bagi pendatang, tetapi ia masih tidak setara dengan rakyat tempatan, kata Adrian Pereira.

Majikan akan mendapat manfaat kos dengan mengambil pekerja asing berbanding pekerja tempatan, menurut seorang aktivis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sukar bagi kerajaan untuk mengikuti piawaian antarabangsa yang ditetapkan untuk melindungi hak pendatang, kata seorang aktivis.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, jelas bahawa Putrajaya “bergelut” untuk meningkatkan standard dengan meminda undang-undang. Majikan juga tergesa-gesa untuk membaiki sistem, katanya.

Beliau mengakui bahawa syarikat-syarikat “dalam perhatian” telah membuat penambahbaikan dalam perlindungan hak pekerja asing, tetapi menyatakan bahawa beberapa antaranya ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jika GLC tak dapat tunjuk rekod yang baik, bayangkanlah apa yang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) fikir mereka boleh buat?

Walaupun pindaan kepada Akta Kerja menawarkan perlindungan sosial yang lebih baik kepada pendatang, hakikatnya, kata Pereira, ia masih tidak setara dengan rakyat Malaysia.

“Selagi wujud sebarang bentuk diskriminasi atau standard yang lebih rendah, akan ada pihak yang cuba ambil kesempatan,” katanya.

Beliau memberi contoh majikan yang lebih suka mengambil pekerja asing berbanding warga tempatan bagi mengelak daripada membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jika dibandingkan dari segi set kemahiran, tidak banyak beza, tetapi (majikan) akan dapat manfaat kos dengan mengambil pekerja asing,” katanya merujuk kepada majikan yang mengerahkan pekerja asing bekerja lebih masa, pada hari minggu atau hari cuti.

Pereira berkata, terdapat faedah ekonomi dengan mengupah pendatang, seperti yang disimpulkan dalam laporan Bank Dunia.

“Bagi setiap 1,000 pekerja asing yang diambil, kira-kira 800 pekerjaan sepenuh masa dan 160 pekerjaan sambilan diwujudkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.