Melaka sedia pinda undang-undang larang ADUN lompat parti

Melaka sedia pinda undang-undang larang ADUN lompat parti

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata pelaksanaan RUU itu adalah sebahagian daripada manifesto BN pada PRN Melaka, November lepas.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata terdapat rangka masa diberikan kepada negeri-negeri untuk turut serta meminda rang undang-undang itu. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Kerajaan Melaka bersedia meminda perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri bagi melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan (ADUN) bertukar parti.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata pelaksanaan RUU itu merupakan sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, November lepas.

“Saya sokong RUU berkenaan. Parlimen dah selesai…kita tunggu benda ini (RUU) dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ada rangka masa yang diberikan kepada negeri-negeri untuk turut serta meminda rang undang-undang ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka, Sidang Dua, Penggal Ke-33.

Semalam media melaporkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat.

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.