
Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MICCI), Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia gembira kerana kedua-dua negara dapat mencapai persefahaman mengenai perkara itu.
Pengarah Eksekutif MICCI, Shaun Cheah bersyukur Menteri Sumber Manusia, M Saravanan mendengar kebimbangan yang dibangkitkan dan bertindak pantas.
“Kami harap perkara sebegini tak berulang,” katanya kepada FMT.
Cheah turut memuji kementerian kerana menyelesaikan masalah berhubung sistem yang digunakan untuk mengambil pekerja Indonesia.
“Kami harap pada masa akan datang, proses ini akan lebih lancar dan tidak terbeban dengan birokrasi kerana ia penting bagi pemulihan pasca wabak,” katanya.
Semalam, Saravanan mengumumkan Indonesia menarik balik pembekuan sementara ke atas kemasukan pekerjanya ke negara ini mulai 1 Ogos ini.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia, Foo Yong Hooi turut bersetuju penarikan balik pembekuan sementara itu adalah berita baik bagi semua majikan dan agensi pekerjaan.
“Ia menunjukkan tindakan segera kerajaan dalam menyelesaikan isu itu dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap pembekuan mengejut itu tidak berulang kerana ia akan merugikan lagi semua pihak dan sektor yang bergantung kepada pekerja Indonesia.
Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman gembira kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan, membenarkan pekerja Indonesia kembali ke negara ini.
“MEF berharap tiada lagi kelewatan lanjut dalam mendapatkan tenaga kerja pada masa akan datang,” katanya.
Saravanan juga mengumumkan Malaysia dan Indonesia bersetuju mengintegrasikan sistem semasa bagi pengambilan pembantu rumah. Proses integrasi itu akan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Duta Besar Indonesia, Hermono berkata, pembekuan itu akibat tindakan Jabatan Imigresen terus menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) untuk pengambilan pekerja, bukannya One Channel System (OCS).