
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah berkata, walaupun pemberian rebat adalah wajar, ia tertakluk kepada Standard Prestasi Perkhidmatan Bekalan Elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Kriteria untuk mendapat rebat, katanya, bergantung kepada masa yang diambil untuk memulihkan bekalan elektrik.
“Jika ia mengambil masa lebih tiga jam (untuk memulihkan bekalan), maka pengguna berhak (mendapat rebat). Kurang daripada itu, saya tidak fikir wajar,” Saravanan memberitahu FMT.
Standard prestasi bagi Jaminan Tahap Perkhidmatan 2 (GSL2) yang ditetapkan Suruhanjaya Tenaga (ST) menyatakan pengguna berhak mendapat rebat, jika gangguan bekalan elektrik berterusan selama tiga jam atau lebih.
Pengguna domestik berhak mendapat rebat 1% daripada bil bulanan mereka atau minimum RM10, manakala pengguna komersial boleh mendapat 1% daripada bil bulanan mereka atau sehingga RM300. Pengguna industri pula boleh mendapat 0.5% daripada bil bulanan mereka atau maksimum RM1,000.
Saravanan berkata, pihak berkuasa perlu menyemak semula standard prestasi TNB kerana kadar itu tidak mencukupi, selain pengurusan semua kemudahan dan peralatan elektrik perlu diteliti secara mendalam.
“Ia tentunya memerlukan semakan dan ST perlu mengambil kira kos sara hidup serta inflasi,” katanya sambil menambah pihak berkuasa harus menghapuskan sebarang “kerenah birokrasi” yang menghalang pemberian pampasan.
“Sebarang kemas kini, naik taraf atau kerja penyelenggaraan yang diperlukan, mesti dilakukan segera,” katanya sambil menggesa pengguna terjejas dengan gangguan bekalan elektrik supaya mengemukakan aduan mereka kepada ST dan TNB.
Tetapi, Timbalan Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM), Beninder Singh berpendapat tiada keperluan untuk memberi pampasan kepada pengguna biasa, melainkan mereka mengalami kerugian.
Walaupun mengakui gangguan bekalan elektrik adalah kejadian malang, beliau memuji kepantasan TNB menyelesaikan masalah itu. “Kami melihat inni sebagai kejadian terpencil, bekalan elektrik kami stabil selama ini.”
Rabu lalu, beberapa kawasan di Lembah Klang menghadapi gangguan bekalan elektrik besar-besaran, antaranya Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Selayang, Cheras dan Bandar Sunway. Kawasan lain di Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang turut terjejas.
TNB kemudian berkata, gangguan itu berpunca daripada kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama Yong Peng North di Yong Peng, Johor.