
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Tan Cheng San, ibu kepada murid perempuan terbabit telah membuat laporan sejurus kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, 19 Julai lalu.
“Kita mengambil maklum berhubung perkara yang ditularkan di media sosial.
“Siasatan polis mendapati mangsa adalah kanak-kanak yang menghadapi masalah autisme dan mengikuti kelas pendidikan khas di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya.
“Ketika kejadian mangsa dikatakan bertindak agresif di dalam kelas hingga menyebabkan pelajar lain takut dan menangis. Disebabkan itu, suspek guru wanita berusia lingkungan 30-an datang dan memegang kedua-dua belah telinga mangsa untuk menenangkan mangsa, namun tindakan suspek menyebabkan kedua-dua telinga mangsa mendapat kesan lebam,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Harian Metro.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook (FB) memuat naik maklumat berkenaan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang juga autisme mengalami kecederaan di telinga didakwa didera oleh gurunya di sebuah sekolah di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Tan berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus menularkan kejadian itu kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan masyarakat,” katanya.