Indonesia tarik balik pembekuan pekerja asing mulai 1 Ogos

Indonesia tarik balik pembekuan pekerja asing mulai 1 Ogos

Malaysia dan Indonesia turut bersetuju mengintegrasi sistem sedia ada untuk pengambilan pembantu rumah.

Pada 13 Julai lalu, Duta Besar Indonesia, Hermono berkata, Jakarta membekukan sementara penghantaran semua pekerjanya ke Malaysia.
PETALING JAYA:
Indonesia akan menarik balik pembekuan sementara pekerjanya memasuki Malaysia mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Menurut laporan Bernama, Saravanan berkata, Indonesia bersetuju membatalkan pembekuan sementara itu, yang dikatakan menteri itu sebelum ini hanyalah “penangguhan sementara”.

Pada 13 Julai lalu, Duta Besar Indonesia, Hermono dilaporkan berkata, Jakarta melaksanakan pembekuan sementara ke atas semua pekerjanya memasuki Malaysia susulan pertikaian berhubung sistem yang digunakan untuk mengambil pembantu rumah dari negara itu.

Saravanan berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju mengintegrasi sistem sedia ada untuk pengambilan pembantu rumah.

Ini akan dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Hermono berkata, pembekuan itu akibat Jabatan Imigresen terus menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) untuk pengambilan pembantu rumah dan bukannya “One Channel System” (OCS).

Beliau berkata, penggunaan OCS dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) Malaysia dan Indonesia yang dimeterai April lalu.

Tetapi pada 19 Julai lalu, Saravanan memberitahu Dewan Rakyat, tiada syarat dalam MoU untuk Malaysia memansuhkan MOS.

Katanya, pembekuan sementara pekerja Indonesia memasuki Malaysia berpunca daripada kekeliruan berhubung mekanisme pengambilan buruh dari republik itu.

Menerusi kenyataan bersama, Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah berkata, sistem pengambilan bersepadu akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga minggu.

“Untuk memastikan kelancaran penggunaan dan kebolehpercayaan sistem bersepadu, projek perintis tiga bulan hendaklah dilakukan sebelum penggunaan penuh sistem di bawah OCS.

“Kedua-dua menteri mengulangi komitmen mereka untuk melarang sebarang pengambilan pekerja domestik Indonesia melalui mana-mana mekanisme, selain OCS,” kata mereka.

Mereka turut bersetuju terdapat keperluan untuk mempercepatkan pengusiran pendatang tidak berdokumen, khasnya daripada kumpulan rentan.

Dalam mengiktiraf keperluan untuk menangani pemerdagangan manusia, mereka mengulangi komitmen untuk melibatkan pihak berkepentingan berkaitan bagi menjalin kerjasama dua hala yang kukuh berhubung perkara itu.

“Akhir sekali, kedua-dua menteri komited untuk memudahkan kerjasama antara agensi keselamatan sosial di Malaysia dan Indonesia bagi mengukuhkan perlindungan pekerja asing Indonesia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.