
Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) merujuk cadangan Mahathir yang mahu “lompat” membabitkan keseluruhan parti dibenarkan, dengan syarat mendapat restu tertinggi parti terlebih dulu.
“Semalam, Langkawi (Mahathir) bangun bahas minta lagi dia orang loncat. Kalau esok ada pilihan raya, kita kena loncat untuk tubuhkan kerajaan demi kestabilan.
“Langkawi ialah ‘bapa loncat’. Daripada Umno, duduk dalam Umno jadi perdana menteri dan akhirnya dia marah dekat beberapa orang, apa berlaku masuk Bersatu jadi pengerusi. Lepas itu tipu, khianati kawan-kawan dalam Bersatu dan masuk Pejuang,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.
Sementara itu, Azeez mencadangkan tindakan diambil terhadap seluruh kepimpinan tertinggi parti yang menerima katak politik, termasuk presidennya, dengan mengosongkan kerusi mereka sebagai Ahli Parlimen atau ADUN.
Katanya, tindakan itu perlu bagi mengelakkan wakil rakyat melompat parti.
Beliau turut mencadangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) membatalkan pendaftaran sesebuah parti yang menerima katak politik.
Dewan kecoh
Dewan Rakyat kecoh sedikit apabila Azeez mendakwa pembangkang takut menegur Mahathir yang dikatakan menjadi punca kerajaan tidak stabil ketika ini.
Katanya, Mahathir bersalah kerana melepaskan jawatan perdana menteri sehingga menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan.
“Saya hairan sekali tidak siapa tegur Dr M kerana kesilapan khianati rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) bangkit meminta Ahli Parlimen Baling itu tidak memutar belit kenyataan di Dewan Rakyat.
“Baling perlu jujur dengan kenyataan dibuat. Semalam Jerlun (Mukhriz Mahathir) sudah buat penjelasan mengapa Mahathir letak jawatan dan disokong Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman). Sila semak fakta sebelum buat tuduhan.”
Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baru) kemudian mencelah dan membidas Azeez.
Setiausaha agung PKR itu berkata, kerana “keberanian” bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji itu jugalah majoriti rakyat menolak BN dan memberikan mandat kepada PH untuk menjadi kerajaan pada 2018.
“Kalaulah kekuatan dan keikhlasan Baling menegur Pekan (Najib Razak) waktu itu, percayalah, BN masih kekal jadi kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata isu sebenar selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah mengenai sekumpulan Ahli Parlimen yang terlibat dengan Langkah Sheraton.
“Lepas 22 bulan, berlaku manipulasi, gerakan. Kami terus pertahankan dokumen yang merupakan konsensus dan memang ada perbuatan untuk elak daripada perkara itu berjalan,” katanya.