
Sejak semalam, tular video memaparkan lelaki terbabit memarahi peniaga wanita itu dengan mendakwa dia meniaga di “kawasan” miliknya.
Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu iaitu peniaga wanita berkenaan.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang juga peniaga tidak berpuas hati kerana wanita itu menjaja di kawasan sama.
Katanya, pengadu sebelum ini menjalankan perniagaan sama di sekitar kawasan Tongkang Pecah sejak 10 tahun lalu bersama tiga anaknya berusia 12 hingga 17 tahun.
“Pengadu yang juga seorang wanita bersama anaknya menunggang motosikal menjual buah potong dari satu kedai ke satu kedai lain pada waktu malam.
“Bagaimanapun, pengadu berhasrat meluaskan kawasan jajaannya sehingga ke Parit Raja sebelum ditahan oleh suspek dan memarahinya dengan cara kasar agar tidak mengganggu kawasan perniagaan suspek,” katanya dalam kenyataan.
Ismail berkata, susulan laporan dibuat pengadu pada 25 Julai lalu, pihaknya menahan dan menyoal siasat suspek berusia 37 tahun, iaitu peniaga buah potong dan minuman.
“Suspek mengaku memarahi pengadu kerana tidak mahu pengadu menjaja di kawasan Parit Raja kerana boleh menjejaskan perniagaannya,” katanya.