26 ketua bahagian PKR India sokong Saraswathy naib presiden

26 ketua bahagian PKR India sokong Saraswathy naib presiden

Pertemuan 26 ketua bahagian PKR daripada kaum India sebulat suara setuju topik pelantikan K Saraswathy perlu ditutup dan tidak diperkatakan lagi.

Ketua Bahagian PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata presidennya, Anwar Ibrahim, menerangkan pelantikan K Saraswathy termasuk gerak kerja dan jasa kepada parti itu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR mempertahankan pelantikan K Saraswathy sebagai naib presiden PKR mewakili kaum India susulan didakwa tidak mendapat sokongan akar umbi.

Ketua Bahagian PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan, berkata tiada parti lain melantik wanita daripada kaum India sebagai naib presidennya.

“Lantikan Saraswathy untuk jawatan naib presiden mewakili kaum India memang satu kebanggaan.

“Kita harus bangga dan terima kasih pada Presiden PKR Anwar Ibrahim. Semalam, Anwar telah terangkan pelantikan Saraswathy dan macam mana kerja dia dengan parti serta apa jasa dia,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan Anwar bersama 26 ketua bahagian PKR daripada kaum India, malam semalam.

Sathia berkata, beliau yang turut hadir dalam pertemuan itu mendengar pandangan Anwar dan ketua bahagian lain dengan semua sebulat suara setuju topik pelantikan Saraswathy perlu ditutup serta merta dan tidak diuar-uarkan lagi.

“Di mana hak pelantikan adalah budi bicara mutlak presiden, dan semua pemimpin perlu melihat dan bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan untuk menumpukan semua tenaga kepada memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Manivannan Gowin dan R Yuneswaran selaku anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dilantik juga hadir dalam pertemuan dengan ketua pembangkang itu.

Pada 24 Julai, pelantikan Saraswathy sebagai naib presiden PKR bagi mewakili kaum India disifatkan sebagai “payung terjun” yang didakwa tidak mencerminkan sokongan akar umbi.

Bekas timbalan setiausaha agung PKR, S Jenapala Perumal, berkata kepada FMT, pemimpin yang dilantik sebagai naib presiden PKR bagi mewakili kaum India mestilah orang berpengalaman dan sudah lama berjuang untuk parti.

Justeru, Jenapala meminta Anwar meneliti semula pelantikan itu yang didakwa akan memberi kesan kepada sokongan masyarakat India.

Pada minggu lalu, MPP PKR melantik dua individu sebagai naib presiden lantikan, iaitu Saraswathy dan Awang Husaini Sahari dari Sabah.

Pengumuman barisan kepimpinan penuh PKR, termasuk jawatan lantikan bagi mewakili masyarakat India dan Sabah serta Sarawak dilihat bertujuan memastikan komposisi kaum seimbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.