Wakil rakyat dipecat perlu dianggap lompat parti, kosongkan kerusi, kata Loke

Wakil rakyat dipecat perlu dianggap lompat parti, kosongkan kerusi, kata Loke

Setiausaha Agung DAP berkata, parti itu sedia meminda perlembagaannya jika Ahli Parlimen yang dipecat parti dianggap sebagai melompat parti dan digugurkan daripada kerusinya.

Anthony Loke berkata, DAP sendiri sedia meminda perlembagaannya, jika Ahli Parlimen yang dipecat parti dianggap melompat parti dan digugurkan daripada kerusinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan wakil rakyat yang dipecat parti turut digugurkan daripada kerusi disandangnya.

Anthony Loke (PH-Seremban) berkata, DAP sendiri sedia meminda perlembagaannya, jika Ahli Parlimen yang dipecat parti dianggap melompat parti dan digugurkan daripada kerusinya.

Setiausaha Agung DAP itu memberi jaminan jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta kerajaan bersetuju untuk syarat itu dimasukkan dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

“Dalam perkara ‘Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli dewan itu akibat pemecatan oleh parti politiknya’, umpamanya. Dalam konteks tertentu, pemecatan itu boleh dianggap sebagai lompat parti. Maksudnya, jika seorang Ahli Dewan Rakyat mengambil keputusan melanggar keputusan partinya, dia boleh dipecat dan dia perlu mengosongkan kerusinya.

“Malangnya, perkara ini tidak mendapat konsensus dan tidak dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan ini. Jika menteri (Wan Junaidi) kata perkara ini boleh dilaksanakan, saya berjanji DAP akan menjadi parti politik pertama yang akan meminda perlembagaan parti untuk memasukkan seksyen ini,” katanya ketika membahaskan RUU itu.

Loke berkata, keadaan itu amat berisiko kepada mana-mana parti politik, jika peraturan itu tidak dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan RUU yang sedang dibahaskan di Parlimen.

“Sebagai contoh, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti, ada seorang Ahli Parlimen DAP tidak menyokong keputusan DAP sokong Ahli Parlimen Port Dickson (Anwar Ibrahim) jadi perdana menteri. Dia tidak ikut keputusan parti, sebaliknya sokong Ahli Parlimen Bera (Ismail Sabri Yaakob) sebagai perdana menteri.

“Kalau kita pecat dia, dia masih kekal sebagai Ahli Parlimen, dia tidak akan mendapat apa-apa kesan akibat melanggar keputusan parti. Perkara ini juga boleh terjadi di sebelah sana (kerajaan). Kita berharap Wan Junaidi dapat memberi penjelasan berhubung perkara ini.”

Sementara itu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) ketika membahaskan RUU itu berkata, undang-undang berkenaan digubal bagi mengelakkan Langkah Sheraton berulang menyebabkan sistem demokrasi negara lumpuh sepenuhnya.

“Selepas ini, kita lihat walaupun nak bina semula keyakinan rakyat kepada Parlimen, dengan RUU ini mungkin ambil lima hingga 10 tahun lagi, bukan senang setelah dirosakkan melalui Langkah Sheraton.

Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pula bimbang jika ada negeri yang tidak mahu mengikut pindaan dalam RUU itu.

“Ketakutan saya ialah peringkat negeri-negeri kerana saya melihat kita tidak boleh memaksa negeri-negeri, tetapi saya harap Ahli Parlimen dari blok sebelah sana yang ada memegang negeri, di Selangor, Pulau Pinang, wajibkan negeri-negeri itu melaksanakan undang-undang ini.

“Kalau tidak, seolah-olah pusat tak ada ‘katak’, negeri pula banyak ‘katak’ dan kerajaan bertukar-tukar. Itu tidak begitu adil.”

Bagi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), RUU itu merupakan perintis kepada perubahan Malaysia baharu.

Malah katanya, kerajaan juga harus memastikan rakyat diberikan kuasa untuk menentukan arah tuju politik dan bukannya pencatur politik.

“Ini masanya untuk ubah supaya rakyat lihat ini perubahan kepada mereka dan bukan kepada pencatur politik. Saya yakin jika perdana menteri dapat luluskan RUU ini, perkara tersebut akan disokong oleh penyokong kerajaan mahupun pembangkang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.