‘Usul undi tak percaya hanya momokan’, kata KM Melaka

‘Usul undi tak percaya hanya momokan’, kata KM Melaka

Persidangan DUN Melaka berakhir hari ini berjalan lancar dengan tiada sebarang usul tergempar dibuat ADUN kerajaan.

Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu sengaja dibangkitkan kerana mahu melihat Barisan Nasional (BN) bergolak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali ‘terselamat’ apabila ura-ura berlaku undi tidak percaya terhadapnya, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekadar khabar angin.

Persidangan DUN Melaka yang berakhir hari ini, ternyata berjalan lancar malah tiada sebarang usul tergempar yang dikatakan akan dibuat oleh seorang ADUN kerajaan.

Sulaiman dalam pada itu berkata, beliau percaya perkara itu sengaja dibangkitkan pihak tertentu kerana mahu melihat Barisan Nasional (BN) bergolak selepas merekodkan prestasi cemerlang pada pilihan raya negeri (PRN), tahun lalu.

“Saya bersama 21 ADUN BN tidak mempunyai apa-apa masalah dan saya tidak percaya mana mungkin akan ada undi tidak percaya terhadap saya.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya dakwaan (undi tidak percaya). Siapa yang berani buat undi tidak percaya (kerana disebabkan itu mungkin) kita akan menghadapi satu lagi PRN, adakah kita hendak buat PRN sekali lagi?” katanya menurut Berita Harian.

Sulaiman yang juga ADUN Lendu, berkata beliau tidak mahu menunding jari terhadap mana-mana pihak yang didakwa membangkitkan isu berkenaan.

“Saya tidak mahu tuduh sesiapa dan seperti saya katakan tempoh hari, saya sentiasa berlapang dada, jangan susah hati kerana kerajaan ini milik Allah, bukan milik saya.

“Allah boleh beri kepada sesiapa sahaja (memimpin kerajaan) dan memuliakan sesiapa sahaja dan pada masa sama boleh mencabut dan menghina sesiapa sahaja yang dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata, hasrat rakyat untuk melihat sebuah kerajaan stabil sudah dapat direalisasikan dan ia perlu dipertahankan.

“Rakyat di bawah mahukan sebuah kerajaan yang stabil, jadi sekarang ini, kerajaan kita sudah cukup stabil, tak perlu bimbang.

“Rakyat hanya ‘dimomok-momokkan’ dengan kisah undi tidak percaya. Tunggulah pada persidangan DUN pembentangan bajet (akan datang), pasti akan timbul semula isu undi tidak percaya ini,” katanya.

Sebelum ini, ada dakwaan akan berlaku undi tidak percaya terhadap Sulaiman pada persidangan DUN, malah beberapa pemimpin pembangkang turut dikatakan mencanang isu terbabit sehingga menimbulkan persoalan ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.