
Beliau berkata data itu diperoleh melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
“Statistik perkahwinan bawah umur yang direkodkan pada 2018 adalah sebanyak 1,856 orang, diikuti oleh 2019 sebanyak (1,459) orang dan 2020 sebanyak (1,124) orang.
“Ini menunjukkan berlakunya trend penurunan bilangan perkahwinan bawah umur di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang meminta Rina menyatakan apakah pelan lima tahun strategi nasional dalam pembasmian perkahwinan kanak-kanak serta mengapa data untuk perkahwinan tidak dapat diakses.
Dalam pada itu, Rina berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang giat melaksanakan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur (Pelan).
Katanya, pelan itu terdiri daripada tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program yang melibatkan pelbagai agensi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan antarabangsa sebagai agensi peneraju dan pelaksana.
“Program yang dirancang adalah terdiri daripada program jangka pendek, sederhana dan panjang mulai 2020 sehingga 2025.
“Pelan ini juga boleh diakses menerusi laman sesawang KPWKM. Statistik mengenai perkahwinan dan perceraian juga boleh diakses melalui laman sesawang eStatistik https://newss.statistics.gov.my,” katanya.