
Beliau tidak menolak kemungkinan masalah berpunca daripada pihak kontraktor yang tidak mampu menyiapkan perumahan bawah Projek Generasi Baharu Felda (PGBF) itu.
“Berkaitan perumahan yang belum siap, pengerusi Felda sendiri telah pun melawat Parlimen Jempol dan tindakan sedang diambil.
“Kita minta pengerusi Felda adakan pertemuan berterusan dengan Jempol dan (kawasan) ahli-ahli Parlimen lain mengenai perumahan generasi kedua Felda,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, pihaknya memahami masalah berlaku dan langkah-langkah sedang diambil Felda untuk mengatasi masalah itu.
“Kita faham (ini) isu besar. (Mungkin) ada masalah berkaitan kontraktor,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang menggesa kerajaan memberi perhatian serius kepada masalah perumahan generasi kedua Felda, yang menurutnya, lambat siap.
Katanya, peneroka Felda, khususnya generasi baharu, menanti begitu lama untuk memiliki rumah yang selesa dan selamat.
“Setakat ini, terdapat sekitar 1,400 unit PGBF di seluruh negara dengan kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM204 juta masih belum disiapkan.”
Salim berkata, setakat ini di kawasannya, projek perumahan PGBF terbengkalai di Palong 7 dan 8, serta Palong 14, 15 dan 16.
“Saya menggesa kerajaan supaya memberikan perhatian yang serius dan mengambil tindakan yang segera supaya kebajikan warga peneroka terbela,” katanya.