Polis Johor henti siasat ‘Tedy’ Teow berkait kes tipu hartanah

Polis Johor henti siasat ‘Tedy’ Teow berkait kes tipu hartanah

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, kes yang didakwa berlaku di Pekan Nanas itu diklasifikasi tiada tindakan lanjut oleh timbalan pendakwa raya.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan terhadap ‘Tedy’ Teow Wooi Huat masih diteruskan Bukit Aman bersabit kes lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Johor menghentikan siasatan terhadap ahli perniagaan buruan, “Tedy” Teow Wooi Huat yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan hartanah kerana tiada arahan lanjut daripada Pejabat Pendakwa Raya.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat bagaimanapun berkata, siasatan terhadap Teow masih diteruskan Bukit Aman bersabit kes lain.

“Kita telah berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan memaklumkan kes yang disiasat bersabit laporan di Pekan Nanas kini diklasifikasi sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) oleh timbalan pendakwa raya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

“Bagaimanapun, siasatan di peringkat Bukit Aman masih diteruskan kerana ada beberapa kes. Setakat ini, untuk Johor kita dapati kes berkenaan telah selesai kerana ada beberapa elemen dan keterangan yang mungkin di pihak pendakwa raya tidak boleh diteruskan siasatan.”

Polis Johor sebelum ini memaklumkan sedang menyemak status siasatan berhubung kes penipuan pembelian hartanah melibatkan Teow menerusi satu laporan di Balai Polis Pekan Nanas.

Terdahulu, media Thailand melaporkan pihak berkuasa negara itu menahan Teow yang dianggap “Jho Low 2” di Danok Jumaat lalu kerana didakwa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram hasil perjudian dalam talian di selatan Thailand.

Penguasa Polis Sadao, Bunthaeng Laocharoen dilaporkan berkata, Teow dalam senarai Notis Merah Interpol dan dipanggil bagi dimaklumkan visanya dibatalkan serta tidak akan didakwa di Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.