
Pakatan pembangkang itu menyebut beberapa kelemahannya, iaitu ketiadaan kuasa penyiasatan dan ia tidak menyediakan lembaga tatatertib.
Ia turut menghendaki menteri dalam negeri melantik setiausaha suruhanjaya, berbanding Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedia ada yang melantik setiausahanya sendiri pada masa ini.
Selain itu, katanya, pesuruhjaya IPCC boleh dilucutkan jawatan pada bila-bila masa tanpa sebab.
“(IPCC) mempunyai banyak kepincangan dan lebih lemah berbanding badan EAIC yang wujud sekarang.
“Oleh itu, PH tidak menyokong RUU IPCC ini,” katanya dalam kenyataan selepas RUU tersebut diluluskan di Dewan Rakyat menerusi pungutan suara.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.
Menurut RUU itu, IPCC akan diberi kuasa untuk mengendalikan perkara berkaitan aduan dan menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah laku. Suruhanjaya itu juga akan menasihati kerajaan mengenai perkara berkaitan integriti dalam pasukan polis.
Ia diperkenalkan pada 2020 bagi menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan PH pada 2019.
Keputusan untuk menggantikan RUU itu dibuat oleh Jemaah Menteri selepas pertukaran kerajaan pada Mac 2020 .
PH bagaimanapun berkata, ia akan menyokong RUU anti-lompat yang dinanti-nantikan apabila ia dibentangkan hari ini dan esok.