
Program seperti pertukaran jarum adalah lebih mampan dan efektif dari segi kos, kata Giada Girelli, penganalisis kanan dengan Harm Reduction International yang mempromosikan dasar dadah yang lebih selamat.
Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa kira-kira USD100 bilion dibelanjakan untuk dasar penguatkuasaan dadah di seluruh dunia berbanding hanya USD125 juta yang dibelanjakan untuk pengurangan kemudaratan.
“Secara global, kita membelanjakan lebih 750 kali ganda untuk kawalan dadah punitif berbanding (jumlah) yang kita belanjakan untuk perkhidmatan yang mengurangkan kemudaratan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Penyelidikan telah menunjukkan bahawa kos menempatkan pengguna dadah di pusat tahanan adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada menyediakan terapi penggantian opiat selama setahun.
Walaupun setelah bertahun-tahun dikuatkuasakan, dasar punitif gagal mengurangkan penggunaan dan perdagangan dadah.
“Lima puluh tahun selepas konvensyen kawalan dadah antarabangsa yang pertama, prevalens global penggunaan dan kebergantungan kepada dadah secara kasarnya stabil,” kata Girelli pada persidangan Rangkaian Anti-Hukuman Mati Asia (ADPAN).
Dasar dadah yang lebih selamat akan mengurangkan penyebaran penyakit, seperti HIV dan Hepatitis C, membantu pengguna dan masyarakat.
Beliau berkata, sukar untuk menentukan kaitan antara penggunaan hukuman mati dengan pengurangan penggunaan dadah, tetapi beliau yakin tiada korelasi positif.
Katanya, dasar punitif membenarkan pelanggaran hak asasi manusia berlaku secara meluas, seperti pembunuhan di luar kehakiman. Menurut Girelli, kira-kira 20,000 pembunuhan seperti itu disahkan berlaku di Filipina sejak enam tahun lepas.
Pendekatan “perang melawan dadah” telah mengakibatkan kadar pemenjaraan yang tidak seimbang, dengan satu daripada lima orang, atau satu daripada setiap tiga wanita di seluruh dunia, dipenjarakan atas kesalahan dadah yang kecil.