Identiti pemandu BMW rentung kemalangan dikenal pasti

Identiti pemandu BMW rentung kemalangan dikenal pasti

Mangsa dikenalpasti sebagai Mohd Farid Hamzah yang merupakan seorang pekerja bengkel kenderaan selepas padanan DNA dengan abangnya.

Raub Selamat berkata, DNA yang dikeluarkan Jabatan Kimia Negeri Johor menunjukkan keputusan 99.9% padanan antara mangsa dengan abangnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Identiti pemandu BMW yang rentung dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya, Johor Bahru, pada 26 Julai lalu, dikenal pasti sebagai Mohd Farid Hamzah, seorang pekerja bengkel kenderaan.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, identiti lelaki berusia 34 tahun itu disahkan menerusi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) antara mangsa dan abangnya berusia 45 tahun yang diperoleh polis petang tadi.

Menurutnya, keputusan DNA yang dikeluarkan Jabatan Kimia Negeri Johor menunjukkan keputusan 99.9% padanan antara kedua-duanya.

“Kita terima laporan berhubung sampel perbandingan DNA antara mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu dengan abangnya pada pukul 2 petang tadi. Dalam laporan itu, keputusan DNA yang dipadankan adalah 99.9998% sepadan antara satu sama lain,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Terdahulu Raub memberitahu, kemalangan berkenaan berpunca apabila kereta BMW berkenaan terbabas ke lorong bertentangan dan merempuh sebuah van sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan empat buah kenderaan.

Kejadian 6.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta mewah tersebut rentung, manakala kereta itu pula terbakar sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, pemandu van, Perodua Myvi dan Honda City terselamat dalam kemalangan ngeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.