Gangguan bekalan elektrik pulih 100%, kata TNB

Gangguan bekalan elektrik pulih 100%, kata TNB

TNB berkata, gangguan bekalan elektrik itu menyebabkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt atau 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung.

TNB berkata, siasatan mendapati gangguan bekalan elektrik itu berpunca daripada kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama Yong Peng North di Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkata, gangguan bekalan elektrik di sebahagian besar kawasan Lembah Klang dan beberapa negeri sejak tengah hari tadi pulih sepenuhnya pada 3.02 petang.

Katanya, siasatan mendapati gangguan bekalan sejak 12.39 tengah hari itu berpunca daripada kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

“Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat utiliti itu berkata, bekalan elektrik di kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan pasukan teknikal TNB.

Terdahulu, TNB dilaporkan berkata, antara kawasan terjejas adalah Petaling Jaya, Cheras dan Bangi di Lembah Klang; Bayan Lepas dan Seberang Jaya (Pulau Pinang); Panchor di Johor dan Bandar Indera Mahkota di Pahang.

Menurutnya, bekalan pulih sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terlibat, kecuali di Lembah Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.