Tak patuh pelaksanaan gaji minimum langgar hak pekerja, tegas MTUC

Tak patuh pelaksanaan gaji minimum langgar hak pekerja, tegas MTUC

Presiden MTUC Effendy Abdul Ghani berkata ini kerana pihaknya masih menerima aduan terdapat beberapa syarikat enggan menguatkuasakannya walaupun syarat pelaksanaan adalah jelas.

MTUC turut menerima aduan mengenai elaun tetap pekerja dipotong dan dimasukkan dalam gaji pokok bulanan bagi memenuhi pelaksanaan gaji minimum.
PETALING JAYA:
Tindakan majikan tidak mematuhi pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bermula Mei lalu jelas melanggar hak pekerja dan memerlukan tindakan tegas pihak Kementerian Sumber Manusia, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Presidennya Effendy Abdul Ghani berkata, ini kerana pihaknya masih menerima aduan terdapat beberapa syarikat enggan menguatkuasakannya walaupun syarat pelaksanaan adalah jelas.

Beliau turut memaklumkan menerima aduan berkaitan elaun tetap pekerja yang diterima setiap bulan dipotong dan dimasukkan dalam gaji pokok bulanan bagi memenuhi pelaksanaan gaji minimum tersebut.

“MTUC juga telah memaklumkan kepada pekerja yang membuat aduan untuk memuat naik aplikasi digital yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia iaitu Working for Workers (WFW),” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mengingatkan majikan bahawa gaji minimum kini ditetapkan pada kadar RM1,500, berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.

Bagaimanapun, Ismail berkata sehingga bulan ini, berdasarkan statistik MYFutureJobs, lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.