Pengasas MBI ‘Tedy’ Teow mungkin dihantar ke China

Pengasas MBI ‘Tedy’ Teow mungkin dihantar ke China

Media tempatan di Thailand melaporkan ahli perniagaan Malaysia dalam buruan itu akan dihantar ke China pada Selasa.

Jumaat lepas, Teow Wooi Huat yang berada dalam senarai merah Interpol, dipanggil pihak polis untuk diberitahu bahawa visa beliau telah dibatalkan. (Gambar Facebook)
BANGKOK:
Visa ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, “Tedy” Teow Wooi Huat, masih berada di bawah tahanan pihak imigresen Thailand dan menunggu untuk dihantar ke China.

“Beliau dijangka dihantar ke China tidak lama lagi,” kata sumber polis kepada Bernama tanpa mahu menyatakan butiran bila Teow akan dihantar ke negara itu.

Bagaimanapun, media tempatan di Thailand melaporkan Teow akan dihantar ke China pada Selasa.

Jumaat lepas, Teow yang berada dalam senarai merah Interpol, dipanggil pihak polis untuk diberitahu bahawa visa beliau telah dibatalkan.

Beliau kemudian diserahkan kepada polis imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.

Teow, 55, yang juga digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan Malaysia sedang diburu Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, telah melarikan diri ke Dannok di Sadao pada 2020.

Teow membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan haram dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.

Pada 2017, Teow ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia atas tuduhan dadah tetapi berjaya melarikan diri ke Thailand dan terlepas daripada hukuman gantung.

Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu. Bank Negara telah menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan.

Beliau juga dihendaki berhubung pelaburan wang haram berjumlah 336-juta-ringgit (USD$83 juta) di Macau.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, polis mengesahkan ahli perniagaan yang menjadi buruan Teow Wooi Huat kini ditahan pihak berkuasa Thailand.

Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata suspek merupakan individu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“PDRM kini sedang dalam proses permohonan untuk penama dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.