
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, 12 individu itu terdiri daripada tiga ahli keluarga, lima banduan dalam sel sama dengan mangsa dan empat kakitangan Penjara Kluang.
“Keterangan mereka dirakam bagi membolehkan kita menjuruskan sebarang unsur yang menjadi sebab kematian mangsa,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, punca kematian mangsa belum dapat ditentukan kerana masih menunggu laporan penuh bedah siasat.
“Bedah siasat sudah dijalankan, tetapi buat masa ini, kita tidak boleh menyimpulkan lagi punca kematian kerana ada beberapa perkara di pihak makmal hospital yang tidak dapat keputusan lagi.
“Kita akan maklumkan apabila semua laporan dan keputusan ini diperolehi. Kita tidak dapat jangka bila (laporan siap), tetapi kita sudah meminta pegawai penyiasat sentiasa berhubung dengan pihak hospital bagi menyegerakannya kerana kita juga tidak mahu siasatan kes ini berlanjutan lebih lama.”
Kim Shih Keat, 36, dijadualkan dibebaskan dari Penjara Kluang pada 28 Jun lalu selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan didenda RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 22 Jun lalu.
Tetapi, difahamkan pada hari sama, mangsa terlebih dahulu dikejarkan ke hospital selepas didapati pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.