Hak milik pegangan bebas dikeluar kepada pemilik rumah Kepong, kata peguam

Hak milik pegangan bebas dikeluar kepada pemilik rumah Kepong, kata peguam

Pretam Singh berkata, Jabatan Peguam Negara tidak memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari selepas penghakiman Mahkamah Tinggi.

Rumah di Taman Bukit Maluri, Kepong. (Gambar Pretam Singh)
KUALA LUMPUR:
Hak milik pegangan bebas sudah dikeluarkan kepada pemilik rumah di Taman Bukit Maluri, Kepong yang mendapat perintah mahkamah empat bulan lalu untuk penukaran hak milik pajakan selama 99 tahun, kata peguam mereka.

Pretam Singh berkata, Jabatan Peguam Negara tidak memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari selepas penghakiman Mahkamah Tinggi.

Katanya, Jabatan Tanah dan Galian sudah mengeluarkan hak milik baharu itu kepada pemilik rumah yang mempunyai hak milik lama.

“Kami membayar yuran pemprosesan kecil sebelum hak milik baharu itu dikeluarkan,” katanya kepada FMT.

Katanya, hak milik lama beberapa rumah lain dipegang bank kerana pemilik sedang membayar pinjaman mereka. Bank diminta menyerahkan hak milik lama untuk hak milik baharu dikeluarkan.

Hak untuk mendapatkan hak milik pegangan bebas diberikan Mahkamah Tinggi pada 11 Mac lalu, apabila hakim Evrol Mariette Peters memutuskan syarat pajakan 99 tahun yang dikenakan ke atas tanah itu tidak sah dan di luar kuasa Perlembagaan.

Katanya, pemilik rumah tidak boleh dinafikan hak Perlembagaan terhadap hartanah.

Pemilik rumah berkata, hak milik induk 1903 itu milik sebuah ladang getah yang dimiliki Edinburgh Rubber Estates. Tanah itu dipindahkan kepada Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd pada 1973 untuk pembinaan projek perumahan oleh Syarikat Maluri Sdn Bhd.

Tetapi, status tanah itu ditukar kepada pajakan.

Pretam berkata, penduduk cuba menyelesaikan masalah itu secara pentadbiran, termasuk menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri, tetapi tidak membuahkan hasil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.