Tiada siapa selamat daripada disiasat bawah Sosma, Ahli Parlimen beri amaran

Tiada siapa selamat daripada disiasat bawah Sosma, Ahli Parlimen beri amaran

Sosma boleh digunakan terhadap wartawan jika laporan polis dibuat terhadap mereka, malah Ahli Parlimen dan speaker, kata Kasthuri Patto.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, bersama Ahli Parlimen PH yang lain, ketika menerima memorandum daripada Suaram di Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang memberi amaran, pihak berkuasa boleh menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menyiasat sesiapa sahaja, bukan hanya individu disyaki pengganas.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, yang menerima memorandum menentang akta itu daripada kumpulan asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di bangunan Parlimen, berkata Sosma malah boleh digunakan terhadap wartawan jika laporan polis dibuat terhadap mereka.

“Itu isunya di sini, boleh jadi seterusnya (akta digunakan terhadap) Ahli Parlimen, kemudian, speaker,” katanya.

Minggu lepas, Dewan Rakyat meluluskan pelanjutan peruntukan yang membenarkan penahanan selama 28 hari bawah Sosma, walaupun ia hangat dibahaskan.

Seramai 105 Ahli Parlimen mengundi menyokongnya, 83 membantah, manakala 32 lagi tidak hadir.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin membentangkan semula usul itu selepas ia ditolak pada sidang Parlimen sebelumnya.

Hamzah membentangkan usul pada Mac untuk melanjutkan lima tahun lagi penguatkuasaan tempoh penahanan maksimum 28 hari selepas ia tamat pada 31 Julai. Usul berkenaan kalah dengan 85 Ahli Parlimen mengundi menyokongnya dan 86 membantah. Baki 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

Subseksyen 4(5) Sosma membolehkan polis menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan bagi tempoh tidak lebih 28 hari untuk siasatan.

Turut hadir menerima memorandum itu, Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Wong Chen (Subang), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan R Sivarasa (Sungai Buloh).

Penyelaras Suaram, Azura Nasron mengecam menteri dalam negeri kerana merombak semula rang undang-undang itu selepas ia gagal mendapat sokongan yang mencukupi di Dewan Rakyat pada 23 Mac.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan supaya tidak meneruskan perlanjutan itu, sambil mencadangkan penambahbaikan kaedah yang digunakan oleh polis, badan kehakiman serta pihak lain ketika menyiasat kes melibatkan kesalahan bawah Sosma.

Kumpulan itu juga berkata, semua peraturan Sosma mesti diperhalusi dengan menubuhkan semula jawatankuasa teknikal, seperti yang dilakukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan dahulu.

Maria berkata, beliau adalah bukti potensi penyalahgunaan kuasa Sosma.

Beliau ditahan bawah Seksyen 124B dan C Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan berkaitan dengan menggugat demokrasi berparlimen pada November 2016 ketika menjadi pengerusi Bersih.

“Seksyen ini boleh disalahgunakan untuk menahan ahli politik dan kumpulan masyarakat sivil, jadi jangan bagi tahu kami, dengan berbohong Sosma tidak akan disalahgunakan atas tujuan politik.

“Saya merupakan bukti hidup di mana pihak berkuasa menyalahguna seksyen di bawah Sosma itu sebagai prosedur menahan saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.