Terma RM600 sebagai ‘kadar bayaran caruman’ suri rumah menghina, kata Hannah

Terma RM600 sebagai ‘kadar bayaran caruman’ suri rumah menghina, kata Hannah

Ahli Parlimen Segambut berkata, walaupun kerajaan bersemangat untuk melindungi golongan wanita, tetapi terma yang digunakan sangat menghina.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Teoh berkata, seorang suri rumah hanya memperoleh RM20 sehari jika RM600 dilihat sebagai kadar pendapatan bulanan yang diandaikan.
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (SKSSR) yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat mendapat kecaman Hannah Yeoh (PH-Segambut) kerana fasal yang menyebut RM600 sebagai “kadar bayaran caruman” suri rumah, disifatkan sebagai menghina.

“Kalau kita lihat gaji minima yang baru diperkenalkan oleh kerajaan ini, gaji minima RM1500. Kalau kita pergi ke kedai kopi sekarang, warga asing yang buat minuman, gaji mereka sudah mencecah RM3000.

“Tapi untuk suri rumah, wanita kita, golongan ibu kita jumlah anggapan bulanan RM600. Perkataan ini sangat menghina.

“Itu sebab saya meminta kalau boleh kita tangguhkan (meluluskan RUU) kerana perkataan seperti ini, walaupun semangat kita adalah untuk melindungi golongan wanita, tetapi perkataan (terma) yang kita gunakan ini sangat menghina kerja mereka,” kata Yeoh.

Yeoh juga menegaskan bahawa seorang suri rumah hanya memperoleh RM20 sehari jika RM600 dilihat sebagai kadar pendapatan bulanan yang diandaikan.

Katanya, kadar gaji minimum harian tersebut jika dibandingkan dengan rokok yang berharga antara RM12 hingga RM17 serta harga bagi sepinggan nasi biasa mencecah RM10.

“Jadi saya minta timbalan menteri yang akan menjawab nanti kalau boleh (memindanya).

“Saya menyokong undang-undang ini tetapi saya rasa perkataan ini kalau kita biarkan seperti ini dalam hansard sangat menghina golongan yang sepatutnya kita lindungi,” katanya.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata pihaknya akan menyemak semula terma yang digunakan dalam RUU itu dari masa kesemasa.

RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 akan diwujudkan bagi tujuan memberi perlindungan kepada isteri yang dikenali sebagai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

RUU itu menyebut suri rumah yang mencarum dalam skim berkenaan berhak mendapat faedah hilang upaya seperti perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.

Suri rumah berinsurans atau orang tanggungannya juga berhak kepada faedah keilatan iaitu elaun keuzuran, elaun layanan sentiasa, pencen penakat serta faedah pengurusan mayat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.