
Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full, berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Santhara kepadanya sebelum ini.
“Apa yang saya dimaklumkan bahawa beliau (Santhara) nak fokus kepada kawasan Segamat, beliau Ahli Parlimen di sana dan sekarang PRU sudah nak dekat, jadi beliau nak lebih masa kepada kawasan.
“Beliau pemimpin hebat, cara beliau menerajui sayap bersekutu Bersatu sangat baik dan beliau banyak berjasa sehingga tubuhkan sayap bersekutu, tentunya beliau ada alasan sendiri nak letak jawatan, nak fokus kawasan itu satu perkara mustahak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Chong juga menolak dakwaan kononnya Santhara akan keluar Bersatu dan menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak benar.
“Dia hanya nak letak jawatan ketua sayap bersekutu Bersatu sahaja, tidak keluar parti,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Santhara akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), Chong berkata sepanjang penjelasan diberikan, timbalan menteri pelancongan, seni dan kebudayaan itu tidak menyatakan hasrat akan menyertai parti lain.
“Tapi apa-apa pengesahan tentang perkara itu baik tanya YB Santhara sendiri,” katanya.
Chong yang juga juga bekas ADUN Pemanis memaklumkan pucuk pimpinan Bersatu, yang diketuai presiden parti Muhyiddin Yassin masih lagi belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak hasrat Santhara meletakkan jawatan.
“Perjumpaan presiden dengan YB Santhara masih berjalan sejak jam 2.30 petang tadi. Saya boleh maklumkan buat masa ini pucuk pimpinan dan sayap Bersekutu masih lagi kukuh termasuk di peringkat negeri dan akar umbi, di mana keahlian kita sudah melebihi 50,000 seluruh negara,” katanya sambil menolak tuduhan kononnya sayap bersekutu Bersatu tiada masa depan.
Terdahulu FMT melaporkan, Ahli Parlimen Segamat itu telah menghantar surat keluar Bersatu, minggu lalu.
Menurut sumber, tindakan itu diambil selepas Santhara melihat tiada masa depan untuk Ahli Parlimen bukan Bumiputera dalam Bersatu.
Sementara itu Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, Santhara hanya mahu melepaskan jawatannya dan bukan keluar parti seperti didakwa.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, menjelaskan parti itu tidak terjejas dengan tindakan Santhara yang dilaporkan akan keluar parti.