
Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid berkata pihak pembelaan, dalam usaha mereka mencabar kredibiliti Rafiq Hakim Razali sebagai saksi utama, berjaya menunjukkan wujud percanggahan antara keterangan lisannya di mahkamah dan kenyataan yang direkodkan oleh SPRM.
“Selepas mendengar dan menyemak penghujahan kedua-dua pihak, saya setuju bahawa pihak pembelaan telah menunjukkan wujud percanggahan antara keterangan lisan dan kenyataan yang direkodkan mengikut Seksyen 30 Akta SPRM (2009).
“Dengan ini saya mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan salinan keterangan saksi untuk disemak sebelum mahkamah menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Azhar meminta Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menyerahkan kenyataan tersebut sebelum prosiding hari ini tamat.
Minggu lepas, peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo mendakwa Rafiq, bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, mengeluarkan kenyataan bercanggah.
Perkara ini termasuk dakwaannya bahawa Syed Saddiq (tertuduh) mengarahkannya mengeluarkan RM1 juta di rumah tertuduh selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Bagaimanapun, beliau memberitahu SPRM dalam kenyataannya bahawa arahan pengeluaran tu dibuat melalui panggilan telefon pada awal Mac 2020.
Pada 18 Julai, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pertama pihak pembelaan untuk mencabar Rafiq, diikuti dengan permohonan kedua pada 22 Julai.
Syed Saddiq didakwa pada Julai tahun lepas atas empat tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM1.12 juta milik Bersatu.
Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM50,000 setiap satu.