
Presidennya, Zulharith Shahrizzan Kumar Abdullah, berkata pihak pengurusan gagal menetapkan pelarasan gaji baharu sepatutnya berkuat kuasa 1 Jan 2020 walaupun pelbagai rundingan diadakan dengan pihak kesatuan.
Katanya, surat dikemukakan kepada Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein sebelum ini juga tiada khabar berita, malah tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Sehingga hari ini, setelah surat demi surat kita hantar malah rundingan juga telah diadakan…tetapi tiada keputusan bersama dicapai. Kami bukan minta segunung emas tetapi biarlah wajar dan saksama dari segi pelarasan gaji.
“Kita minta bantuan daripada menteri pun tidak dapat perhatian,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama lebih 100 kakitangan LTAT mengadakan piket di depan ibu pejabat bangunan agensi bawah Kementerian Pertahanan itu. Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani dan Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor.
Zulharith mendakwa, seramai 140 daripada 300 ahlinya berada dalam kumpulan B40 iaitu bergaji bawah paras RM5,000.
“Daripada jumlah itu, sekitar 10% masih bergaji kurang RM2,000. Ada antara kami menerima kenaikan gaji tahunan sebanyak RM40 sahaja, dengan kadar itu, bagaimana kami nak ‘survive’ hidup di bandar?,” katanya.
Justeru, beliau menuntut pihak pengurusan menimbang kenaikan gaji sehingga 15% sesuai dengan kenaikan kos hidup ketika ini.
“Kami minta semak sebab dah sampai masa. Kami hanya minta 15% kenaikan, jika tidak boleh ia (jumlah itu) masih boleh dirunding lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulharith mendakwa, pihak pengurusan gagal memenuhi tuntutan mereka dengan alasan kekangan kewangan, namun mempersoalkan tindakan syarikat yang mengambil 60 kakitangan baharu secara tetap dan kontrak daripada kalangan profesional dengan tawaran gaji tinggi.
“Kami lihat berlaku ketirisan tadbir urus kewangan LTAT yang amat melampau, bila kami tuntut hak kami mereka beri 1,001 alasan tetapi boleh pula lantik kakitangan baharu,” katanya sambil menambah, kesatuan akan mengadakan piket selama lima hari hingga Jumaat ini jika tiada maklum balas daripada pihak pengurusan dan kementerian.
Sementara itu, Effendy berkata, jika piket berkenaan tidak membawa sebarang hasil, pihaknya akan membawa perkara itu kepada perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar kebajikan kakitangan agensi berkanun itu terbela.
“Kami akan lihat sekiranya tiada tindakan dalam tempoh lima hari daripada pihak pengurusan (LTAT), kita akan bawa perkara ini ke pejabat PM. Itu jalan terakhir yang kami ada. Kami akan jumpa PM untuk selesaikan isu ini,” katanya.