Keputusan sama ada Tajuddin diambil tindakan berhubung kenyataan seksis ditentu esok

Keputusan sama ada Tajuddin diambil tindakan berhubung kenyataan seksis ditentu esok

Timbalan Speaker Rashid Hasnon telah menerima surat dihantar Ahli Parlimen yang meminta agar Tajuddin diambil tindakan atas kelakuannya itu.

Dewan Rakyat kecoh minggu lalu apabila Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) menyerang Ahli Parlimen pembangkang apabila dibidas membuat kenyataan seksis. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan sama ada Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) akan diambil tindakan kerana menyerang Ahli Parlimen pembangkang apabila dibidas membuat kenyataan seksis akan ditentukan selewat-lewatnya esok.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon berkata beliau telah menerima surat dihantar Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta agar Tajuddin diambil tindakan atas kelakuannya itu.

“Saya menerima surat itu dan Speaker Dewan Rakyat (Azhar Harun) meminta saya mengendalikannya Jadi, saya baru terima (surat aduan) dan sedang dalam proses. Saya buat rumusan keseluruhannya dan akan berikan jawapan dalam minggu ini, selewatnya esok untuk buat keputusan,” katanya di Dewan Rakyat.

Tambahnya lagi, beliau juga telah mengaturkan untuk bertemu dengan saksi-saksi yang didakwa mendengar kata-kata seksis yang dibuat Ahli Parlimen itu minggu lalu.

Dewan Rakyat sebelum ini dilaporkan kecoh apabila Tajuddin berang digelar gemar mengeluarkan kenyataan berunsur seksis oleh seorang wakil rakyat DAP.

Beliau menyifatkan kenyataan Teo Nie Ching (PH-Kulai) minggu lepas sebagai tidak senonoh.

Susulan itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dan meminta Rashid mengambil tindakan terhadapnya, termasuk Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta Tajuddin menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Kasthuri mendakwa, buat masa ini sudah ada sembilan saksi mendengar Tajuddin mengeluarkan kata-kata seksis.

“Kita sudah hantar satu surat kepada speaker untuk memohon beliau memanggil Tajuddin agar mohon maaf dan menarik balik penggunaan kata-kata lucah dalam Dewan Rakyat.

“Kita dikejutkan dengan kelakuan amat tidak senonoh dan tidak boleh diterima mana-mana Ahli Parlimen di sebelah sana (kerajaan) atau di sini (pembangkang),” katanya.

Manakala RSN Rayer (PH-Jelutong) turut menggesa Rashid mengambil tindakan segera berikutan isu itu berlaku sejak minggu lalu selain mendakwa Tajuddin sehingga kini tidak membuat sebarang penafian.

“Sejak Rabu sehingga hari ini, Pasir Salak (Tajuddin) tidak buat penafian. Ini merupakan bukti (Tajuddin) tidak nafikan (ada) mengeluarkan perkataan lucah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.