Perjelas peranan sebagai ‘orang tengah’ Jho Low, Apandi diberitahu

Perjelas peranan sebagai ‘orang tengah’ Jho Low, Apandi diberitahu

Pejuang mendesak bekas peguam negara Apandi Ali menjelaskan peranannya dalam rundingan antara kerajaan dengan ahli perniagaan dalam buruan itu berhubung penyelesaian luar mahkamah skandal 1MDB.

Seorang peguam Pejuang mempertikai sama ada Apandi Ali tahu di mana Jho Low kini berada.
SHAH ALAM:
Pejuang mendesak bekas Peguam Negara (AG) Apandi Ali menjelaskan peranannya sebagai “orang tengah” dalam rundingan antara kerajaan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, berhubung penyelesaian luar mahkamah skandal 1MDB.

Peguam parti Rafique Rashid Ali berkata, peranan Apandi sebagai AG ketika pentadbiran Najib Razak bererti beliau mempunyai akses penuh terhadap kertas siasatan bagi kes 1MDB dan SRC.

Katanya, ini turut membangkitkan persoalan sama ada Apandi tahu di mana ahli perniagaan itu kini berada, selain peranannya dalam kes 1MDB.

“Apandi sendiri mengakui telah mengatur pertemuan dengan peguam Jho Low, malah kerajaan didakwa telah ditawarkan RM1.5 bilion untuk menyelesaikan tuduhan terhadap Jho Low.

“Sebagai bekas AG, Apandi mempunyai akses penuh terhadap kertas siasatan kes 1MDB dan SRC. Bukankah beliau kini dalam kedudukan konflik kepentingan apabila membantu Jho Low?” kata Rafique.

Ketua Penerangan Pemuda Pejuang Akif Rusli berkata, kedudukan Apandi sebagai “orang tengah” untuk Jho Low membangkitkan persoalan sama ada beliau menerima sebarang bayaran bagi membantu mengatur pertemuan itu.

(Dari kiri) Peguam Pejuang Rafique Rashid Ali, Penyelaras Pejuang Shah Alam Azlan Shah Mohd Arshad, dan Ketua Penerangan Pemuda Pejuang Akif Rusli di luar balai polis Seksyen 9 di Shah Alam.

“Ada elemen khianat memandangkan Apandi bertanggungjawab (sebagai peguam negara ketika itu) untuk menentukan sama ada Najib akan disiasat, dan kini Najib telahpun didapati bersalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.”

Katanya, RM1.5 bilion yang dikatakan ditawarkan Jho Low kepada kerajaan untuk menyelesaikan tuduhan terhadapnya adalah sekadar 10% berbanding saman bernilai RM15.8 bilion terhadapnya oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Beliau menyoal sama ada penyelesaian kes menjadi amalan biasa dalam prosiding undang-undang kini, dengan memetik sebagai contoh penyelesaian kes Ahmad Maslan menerusi kompaun RM1.1 juta berkaitan RM2 juta yang gagal diisytiharkannya.

Akif berkata Malaysia tidak akan menghadapi krisis kewangan dan ekonomi seperti sekarang jika tidak kerana skandal 1MDB.

“Adakah Apandi setia kepada penjenayah 1MDB atau negara ini? Inilah yang perlu beliau jawab kepada umum.”

Ahli Pejuang membuat tiga laporan polis terhadap Apandi berhubung isu itu di balai polis Seksyen 9 Shah Alam petang ini.

Tindakan itu susulan desakan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu supaya Apandi disiasat berhubung peranannya dalam rundingan antara kerajaan dengan wakil Jho Low.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.